PEMAIN JDT II, Mohd Irfan Fazail (tengah) diasak pemain Kuala Lumpur di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bahru.
PEMAIN JDT II, Mohd Irfan Fazail (tengah) diasak pemain Kuala Lumpur di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bahru.

Pasir Gudang: Johor Darul Ta’zim II (JDT II) kekal di tangga ketiga liga selepas sekadar seri 1-1 dengan Kuala Lumpur pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), malam tadi.

Sebaik babak pertama bermula, skuad Merah Biru tidak menunggu lama untuk merobek gawang Warga Kota apabila gerakan menarik Paulo Rangel pada minit pertama disudahkan Mohd Irfan Fazail yang pantas merembat bola kencang menewaskan penjaga gol pelawat Mohamad Soffuan Tawil.

Rangel yang merancang gol awal itu hampir menambah jaringan buat tuan rumah pada minit kelima namun bola rembatan leret selepas menerima tandukan Shafiq Shahrudin sekadar sipi dari pintu gol.

Tersentak gol awal itu, pelawat cuba untuk memburu gol penyamaan pada minit ketujuh namun sepakan percuma Jonathan Zorrila sekadar singgah di palang ketika penjaga gol Samuel Sommerville sudah tertewas.

Namun, ketika aksi babak pertama berbaki tiga minit untuk ditamatkan, pelawat bangkit menyamakan jaringan selepas kesilapan kapten Baihakki Khaizan yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dan kesempatan itu diambil Zorilla yang mudah menewaskan Sommerville.

Selepas sekian lama menjalani latihan bersama JDT II sejak pertengahan musim ini, akhirnya pemain naturalisasi Darren Lok yang baru mendapat taraf kewarganegaraan membuat penampilan pertama pada babak kedua apabila masuk menggantikan Muhammad Akram Mahinan.

Darren memiliki peluang untuk menjaringkan gol pada minit ke-58 namun lewat untuk melakukan rembatan dan pantas dihalang Soffuah yang sempat menutup ruang dan jaringan 1-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2016 @ 5:11 AM