Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Meraih gangsa di Singapura dua tahun lalu bukan tiket buat perseorangan wanita negara Goh Jin Wei berasa terlalu yakin dan selesa untuk menukar warna pingat yang lebih baik menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bulan depan.

Menurut pemain kelahiran Pulau Pinang itu, Sukan SEA 2015 memang amat berbeza berbanding KL2017 terutama dari segi cabaran serta halangan yang akan diterima daripada pemain Thailand dan Indonesia.

“Sasaran saya untuk Sukan SEA kali ini adalah memberikan yang terbaik. Kali ini pemain lawan tidak sama berbanding dua tahun lalu, ada pemain Thailand dan Indonesia yang tidak pergi ke Kejohanan Dunia, malah memilih beraksi di Sukan SEA,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) semalam.

Jin Wei mengakui antara pemain yang perlu diberi perhatian dan mampu menghalangnya mencatat keputusan lebih baik adalah Busanan Ongbumrungpan.

“Mereka juga amat mantap dalam acara beregu wanita dan berpasukan terutama selepas kehadiran pasangan nombor 10 dunia, Puttita Supajirakul-Sapsiree Taerattanachai.

“Apapun kami harap mampu layak ke perlawanan akhir seperti dua tahun lalu di Singapura dalam acara berpasukan. Kami amat bernasib baik apabila undian minggu lalu tidak berdepan Thailand di separuh akhir, sebaliknya menentang Indonesia,” katanya.

Ditanya mengenai perubahan jurulatih terutama selepas Tey Seu Bock memegang jawatan selaku ketua jurulatih perseorangan wanita, juara remaja dunia 2015 itu mengakui dia kini berada dalam proses menyesuaikan diri.

“Saya perlu membiasakan diri dengan cara beliau mengajar dan melatih pemain,” katanya yang baru-baru ini berjaya muncul naib juara Terbuka Taiwan.

Dua tahun lalu di Singapura Jin Wei berjaya melakar kejutan apabila mara ke separuh akhir namun tumpas kepada pemain Indonesia, Hanna Ramadini 21-16, 12-21, 18-21 dan hanya berpuas hati dengan pingat gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 5:41 AM