JIN Wei tekad mahu mara final pada Kejohanan Remaja Dunia.
JIN Wei tekad mahu mara final pada Kejohanan Remaja Dunia.
Ferzalfie Fauzi


“JANGAN terlalu meletakkan harapan kepada saya nanti gagal lagi,” tegas pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei yang mahu layanan sama rata seperti pemain lain menjelang Kejohanan Remaja Dunia dari 9 hingga 21 Oktober ini di Yogyakarta, Indonesia.

Status selaku juara remaja dunia 2015 mahu dilupakannya buat seketika kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali apabila dia tumpas pada pusingan kelima tahun lalu di Bilbao, Sepanyol.

“Bagaimanapun saya tetap mahu mara ke perlawanan akhir dan perlu lebih bersemangat kali ini,” katanya yang beraksi buat kali kelima pada Kejohanan Remaja Dunia.

Jelas pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu, tiada tekanan buatnya untuk beraksi di Yogyakarta dan segala persiapan yang dilakukan kini semuanya lancar.

“Selepas beraksi pada Cabaran Antarabangsa Singapura (muncul naib juara) kami melakukan latihan intensif minggu ini dan saya harap ia akan membantu untuk memberi aksi terbaik di sana nanti. Saya tidak terlalu memikirkan mengenai pencapaian di sana nanti.

“Saya hanya perlu berhati-hati dengan wakil dari China, Indonesia dan Korea Selatan. Selepas tumpas di perlawanan akhir di Singapura baru-baru ini, saya masih lagi bersemangat dan dapat berlatih dengan baik,” ujar pemain berusia 17 tahun itu.

Ditanya mengenai peluang acara berpasukan campuran pula, Jin Wei mengakui skuad negara masih mempunyai peluang terbaik untuk mencipta kejayaan berdasarkan pencapaian tidak dijangka meraih gangsa di Kejohanan Remaja Asia Julai lalu.

“Tahun ini kami juga mempunyai barisan pemain yang mantap dari perseorangan lelaki iaitu juara remaja Asia, Leong Jun Hao dan juga wakil dari beregu lelaki,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Pada edisi tahun lalu Malaysia hanya membawa pulang satu perak melalui acara berpasukan campuran dan dua gangsa yang diraih perseorangan lelaki Lee Zii Jia dan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 3:20 PM