Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Thailand memberi amaran awal untuk menafikan hasrat Malaysia bergelar juara keseluruhan apabila menghantar jumlah atlet yang hampir sama dengan tuan rumah pada Sukan SEA ke-29, bulan depan.

Mengikut sistem Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), juara edisi 2015 berkenaan menghantar 858 peserta dengan Malaysia yang muncul kontinjen teramai menyenaraikan 874 atlet bertanding di tempat sendiri.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail bagaimanapun tidak panik apabila menyifatkan penyertaan Thailand sebagai kontinjen kedua terbesar sudah dijangkakan.

"Mereka sering kali menghantar jumlah atlet yang ramai untuk setiap edisi. Kali ini mereka banyak menghantar bagi acara berpasukan seperti hoki yang selama ini tidak sertai.

"Kita tidak terkejut dengan bilangan besar yang dihantar Thailand kerana selama ini juga semua tahu kekuatan Thailand. Kita mengambilnya sebagai cabaran," katanya yang mengetuai Kita Juara - program dibentuk bagi memastikan Malaysia muncul juara keseluruhan.

Malaysia dijadual menyertai 397 daripada keseluruhan 404 acara dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu.

"Jumlah bilangan kontinjen juga bukan menjadi penentu kejayaan negara terbabit," tambahnya.

Mengenai sasaran emas, Shapawi menjelaskan ia perlu dibentangkan kepada pihak atasan dan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Menjelaskan tujuh acara yang tidak disertai kontinjen Malaysia, Ahmad Shapawi, ketiadaan atlet menepati kriteria untuk dihantar menjurus kepada perkara itu.

Perkara itu dilihat sebagai tamparan hebat kerana Malaysia turut tidak mempunyai wakil dalam acara 10,000 meter, acara yang pernah didominasi legenda negara M Ramachandran dari 1993 hingga 1999.

Enam lagi acara adalah 200m kuak kupu2 wanita (renang), 10000m wanita (olahraga), 3000m lari berhalangan wanita (olahraga), maraton wanita, skuasy Jumbo lelaki dan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2017 @ 4:14 AM