PESILAT negara (dari kiri) Mohd Al Jufferi Jamari, Muhammad Faizul M Nasir dan Siti Rajmah Mohamed Nasir mempamerkan pingat dimenangi pada Sukan SEA 2015.
PESILAT negara (dari kiri) Mohd Al Jufferi Jamari, Muhammad Faizul M Nasir dan Siti Rajmah Mohamed Nasir mempamerkan pingat dimenangi pada Sukan SEA 2015.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) mahu muncul penyumbang terbesar pingat emas kontinjen negara pada Sukan SEA 2017.

Pesaka akan mencadangkan 20 acara untuk dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu dengan tumpuan mendominasi silat olahraga.

“Jumlah emas yang menjadi sasaran masih belum diputuskan. Namun yang pasti kami mahu muncul penyumbang terbesar emas kepada kontinjen negara untuk bergelar juara keseluruhan,” kata Setiausaha Agung Pesaka Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Jelasnya, sebanyak 16 acara (10 lelaki, enam wanita) membabitkan silat olahraga akan dicadangkan dengan empat adalah silat seni.

“Tujuan kita menambah acara silat olahraga adalah bagi mengurangkan ketidakadilan dalam memberikan markah (silat seni). Sebaliknya, markah untuk silat olahraga akan dipaparkan terus di skrin apabila pukulan mengenai sasaran.

“Kita mempunyai atlet senior dan remaja yang berkaliber bagi merealisasikan hasrat ini. Saya fikir kita tidak akan berdepan masalah terutamanya dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dalam melaksanakan persiapan,” katanya.

Bagaimanapun pada masa sama, Megat Zulkarnain menegaskan mereka perlu berwaspada terhadap Vietnam, Indonesia dan Myanmar yang turut dijangka memberikan tentangan sengit.

Pada Sukan SEA Singapura pertengahan tahun ini, pesilat negara meraih tiga emas, dua perak dan tiga gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2015 @ 7:58 AM