SUKMA 2018 beri petanda positif buat atlet muda. -Foto MUHAIZAN YAHYA
SUKMA 2018 beri petanda positif buat atlet muda. -Foto MUHAIZAN YAHYA
Aida Adilah Mat dan Jumiati Rosly

IPOH: Ada angin perubahan ketara yang dapat dilihat membabitkan pencapaian semua kontinjen dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 yang dilabuhkan tirainya, malam tadi.

Ini terbukti apabila taburan pungutan pingat keseluruhan membabitkan empat kontinjen teratas membabitkan Terengganu, Wilayah Persekutuan, Sarawak dan Selangor seimbang dan ia memberi petanda positif kebangkitan atlet muda negara yang menunjukkan daya saingan yang setara.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, jika dua tahun lalu di Sarawak pungutan pingat antara juara keseluruhan kontinjen lain nampak ketara namun senario di Perak kali ini tampak berbeza.

“Persaingan sengit berlaku kali ini dengan Terengganu dan Wilayah Persekutuan sama-sama mengejar dan bertukar kedudukan sepanjang 14 hari pertandingan berlangsung.

“Kontinjen di tempat ketiga seperti Selangor dan Sarawak juga meraih pungutan pingat yang memuaskan masing-masing 47 dan 42 emas.

“Malah, beberapa sukan menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan pada temasya kali ini seperti dalam acara olahraga, angkat berat dan menembak,” katanya.

Untuk rekod, olahraga menyaksikan tujuh rekod kejohanan dileburkan termasuk rekod 18 tahun lompat bergalah wanita milik Roslinda Samsu, rekod 16 tahun 400m lelaki milik Zaiful Zainal Abidin dan rekod 22 tahun heptathlon milik Masliza Shaari.

Angkat berat yang sebelum ini digugurkan daripada sukan teras juga membuktikan kemampuan mereka apabila lima rekod kebangsaan dan 27 rekod SUKMA diperbaharui.

Menembak juga menyaksikan 10 rekod kebangsaan dilakarkan cuma bagi sukan renang hanya satu rekod kebangsaan dan 14 rekod kejohanan dilakukan.

Menurut Shapawi, pada temasya SUKMA kali ini seramai 1,381 atlet (780 lelaki dan 601 wanita) dari program Kita Juara dan Pelapis terpilih mewakili negeri masing-masing.

Daripada jumlah itu, seramai 109 orang atlet (1.70 peratus) adalah dari program Kita Juara, 156 orang atlet (2.43 peratus) daripada program Pelapis Kebangsaan, 30 orang atlet Serantau (0.46 peratus) dan 1,086 orang atlet (16.86 peratus) dari program Pelapis Negeri.

Seramai lima pemenang pingat di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 seperti Muhammad Fauzi Kaman Shah, Ilham Wahab dan Nur Fatin Solehah Abdul Rahman (pelayaran) Ng Eain Yeow (skuasy) dan Aifa Azman (skuasy) juga turut membantu kontinjen negeri kelahiran mereka dengan meraih emas.

Tujuh atlet Program Podium iaitu Abdul Lotif Ramly (olahraga), Syed Ezwan Syed De, Aidil Aiman Zawawi (sepak takraw); Ng Eain Yeow (skuasy); Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Muhammad Khairil Nizam Rasol serta Mohamad Shariz Efendi Mohd Shahrin (berbasikal) turut menyertai temasya ini dan membantu kontinjen negeri masing-masing dalam pungutan emas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 2:53 PM