AFP

Spielberg, Austria: Sebastian Vettel (gambar) berdepan satu lagi ujian terhadap integriti dan sifat pemarahnya hujung minggu ini apabila dia tiba di litar Red Bull Arena bagi Grand Prix Austria.

Hanya tiga hari selepas meraikan hari jadi ke-30 Isnin lalu dengan terselamat daripada hukuman lanjut berikutan ‘serangan di jalanan’ terhadap Lewis Hamilton pada GP Azerbaijan bulan lalu, juara dunia empat kali itu kini perlu bertenang dan bersabar.

Pemandu Jerman itu pasti mencuri tumpuan media antarabangsa di paddock dan dia mungkin juga tumpuan lebih di litar apabila dia dan Hamilton meneruskan perjuangan memburu kejuaraan pemandu dunia.

Saingan sengit antara Vettel dari Ferrari dan juara tiga kali Hamilton dari Mercedes dijangka di pergunungan Alps Styrian bagi edisi ke-30 perlumbaan di Austria itu.

Vettel kekal 14 mata di depan pemandu Britain itu dalam kejuaraan dunia sesudah Hamilton terlepas peluang menang di Baku.

Hamilton jelas berdiam diri menjelang perlumbaan sekalipun hanya mungkin menyatakan pandangannya menerusi ‘like’ reaksi dalam Instagram berikutan keputusan FIA tidak mengenakan sebarang hukuman lanjut terhadap Vettel kerana tindakannya sengaja melanggar tayar Hamilton.

Vettel, yang mempunyai sejarah panas baran apabila semua tidak menjadi buatnya, terpaksa bertanggungjawab penuh terhadap tindakannya, memohon maaf kepada Hamilton dan berjanji untuk membaiki sikapnya pada masa depan.

Jika dia melakukan kesilapan sekali lagi di Austria, dia mungkin digantung jika mata itu dimasukkan dalam lesen memandunya.

Ramai mungkin percaya dia sepatutnya tidak terlepas daripada hukuman itu namun bos Mercedes, Toto Wolff menjelaskan beliau percaya kini masanya melupakan kontroversi itu.

“Setiap musim hebat dipenuhi dengan permusuhan hebat,” katanya. “Tahun lalu ia pertarungan dalaman kami antara Lewis dan Nico dan tahun ini ia pertarungan antara Ferrari dan Mercedes serta Lewis dan Sebastian.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2017 @ 10:44 AM