KUALA Ibai Pantai ceria selepas muncul juara kejohanan bola sepak 9 Sebelah LISUS.
KUALA Ibai Pantai ceria selepas muncul juara kejohanan bola sepak 9 Sebelah LISUS.

Kuala Terengganu: Kuala Ibai Pantai mencipta kejutan apabila muncul juara kejohanan bola sepak 9 Sebelah Liga Sukan Untuk Semua (LISUS) anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri selepas menumpaskan Criket FC 2-1 pada aksi final di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, baru-baru ini.

Pemain adik-beradik Muhammad Fakhruddin Muhamad dan Muhammad Fitrah Muhamad mencuri tumpuan apabila masing-masing meledak satu gol buat pasukannya selain bertindak sebagai tonggak utama.

Pengurus pasukan Mohd Syazwan Mohd Zaferi berkata, kecemerlangan yang dipamerkan dua pemain itu menjadi kunci kejayaan pasukan yang sebelum itu tidak diletakkan harapan tinggi untuk muncul juara.

“Selain itu, latihan yang berterusan sebelum kejohanan serta komitmen tinggi setiap pemain juga menjadi faktor utama kami berjaya menjulang kejuaraan buat julung kali,” kata Syazwan.

Hasil kemenangan itu, Kuala Ibai Pantai berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 dan piala, manakala Criket FC meraih RM1,500.

Pasukan ketiga bersama pula masing-masing dimenangi BTK FC dan Rapema FC yang membawa pulang hadiah wang tunai RM500 setiap pasukan.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Mohd Khairul Adli Abdul Hadi, Pegawai Penggalakan dan Pembangunan Sukan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 1:06 PM