PEMAIN Johor Darul Ta'zim (JDT) Ahmad Hazwan Bakri (kiri) meraikan jaringan kedua bersama rakan sepasukan, Safawi Rasid pada aksi Kumpulan H saingan Piala AFC Zon Asean di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin
PEMAIN Johor Darul Ta'zim (JDT) Ahmad Hazwan Bakri (kiri) meraikan jaringan kedua bersama rakan sepasukan, Safawi Rasid pada aksi Kumpulan H saingan Piala AFC Zon Asean di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin
Rizar Mohd Noor


JOHOR Darul Ta'zim (JDT) kembali menemui rentak kemenangan selepas menewaskan Tampines Rovers 2-1, pada aksi saingan Kumpulan H Piala AFC Zon ASEAN di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Kemenangan JDT itu menyaksikan saingan Kumpulan H kembali terbuka selepas Persija Jakarta menewaskan Song Lam Nghe An FC 1-0, pada aksi di Stadium Gelora Bung Karno, sebentar tadi dan ketiga-tiga pasukan itu masing-masing mengumpul tujuh mata ketika aksi berbaki dua perlawanan lagi. 

Tanpa menurunkan kelibat pemain import, JDT masih mampu menguasai perlawanan apabila bertindak mengancam kubu Tampines Rovers pada minit ke-12, selepas bola hantaran lintang Corbin Ong dirembat kencang Ahmad Hazwan Bakri namun ditepis penjaga gol, Syazwan Buhari. 

Namun serangan bertali arus skuad Harimau Selatan seminit kemudian membuahkan hasil selepas bola hantaran S Kunanlan membuka ruang buat Safawi Rasid merembat bola kencang dari luar kotak penalti menggegar jaring menewaskan Syazwan. 

Bagaimanapun skuad kendalian Jurgen Raab bangkit menyamakan jaringan ketika aksi berbaki seminit di babak pertama selepas pengadil perlawanan, Payam Heideri menghadiahkan sepakan penalti apabila mengesan Corbin mengasari pemain pelawat. 

Peluang terhidang itu tidak dipersia-siakan Khairul Amri Kamal yang mengambil sepakan penalti itu apabila mudah menyepak masuk menewaskan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan.

Bersambung di babak kedua, skuad Harimau Selatan mula menggandakan asakan untuk menekan benteng pertahanan pelawat, namun Ahmad Hazwan terlepas peluang terhidang pada minit ke-55 selepas gagal melakukan penyudah tepat walaupun hanya berdepan dengan Syazwan.

Bola tandukan Ahmad Hazwan pada minit ke-66 selepas menerima bola sepakan lintang S Kunanlan masih belum mampu menjelmakan jaringan buat tuan rumah apabila Syazwan bertindak cemerlang untuk menepis bola keluar. 

Malah Syazwan sekali lagi bertindak cemerlang menidakkan percubaan berbahaya Afiq Fazail pada minit ke-73 yang menerima bola sepakan sudut Natxo Insa selepas menepis bola keluar ketika bola tepat ke gawang gol. 

Akhirnya gol yang dinanti tuan rumah menjelma pada minit ke-78, apabila bola lorongan Insa mengelirukan pertahanan pelawat dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya Ahmad Hazwan yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti sebelum merembat bola leret menewaskan Syazwan dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 11:07 PM