LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai tiga pemain futsal dipanah petir di Kompleks MSN, Bukit Jalil.
LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai tiga pemain futsal dipanah petir di Kompleks MSN, Bukit Jalil.
Safeek Affendy Razali


SEORANG pemain futsal Sabah kritikal manakala seorang lagi rakan sepasukannya serta seorang wanita dalam keadaan stabil selepas disambar petir ketika perlawanan sempena Liga Sukan Untuk Semua (LiSUS) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.

Kejadian berlaku pada 4.30 petang semasa perlawanan futsal membabitkan Sabah menentang Terengganu di padang Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil.

Mangsa yang kritikal dikenal pasti sebagai Faizal Alli manakala rakan sepasukannya yang berada dalam keadaan stabil dan sudah sedarkan diri dikenali sebagai Abdul Wahid Habib Abdullah dan kedua-duanya berasal dari Tawau, Sabah.

Seorang lagi mangsa wanita dikenali sebagai Nurr Izati Kamsani iaitu wakil kontinjen Terengganu berada dalam keadaan separa kritikal.

Ketika ini, semua mangsa terbabit menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Cheras.

Difahamkan ketika kejadian, Faizal Alli terbaring serta-merta di padang dan tidak sedarkan diri sebaik terkena petir manakala rakannya sepasukannya rebah ketika lari ke tepi padang.

Nurr Izati pula dilaporkan rebah sebaik menuju ke khemah pasukan Terengganu.

Difahamkan pegawai perlawanan masih meneruskan permainan futsal meskipun keadaan pada masa itu hujan lebat.

Seperti yang tular di beberapa laman sosial sejak petang, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan tiga peserta Futsal LiSUS peringkat kebangsaan dipanah petir sekitar 4.30 petang.

Pihak KBS turut menegaskan keselamatan dan kebajikan ketiga-tiga mangsa menjadi keutamaan dan akan meneruskan sebarang perkembangan dengan segera.

Tinjauan media di Zon Kecemasan PPUKM, Cheras pada 9.30 malam tadi mendapati beberapa rakan sepasukan semua mangsa terbabit berkumpul menantikan perkembangan terkini mangsa.

Turut berada di lokasi sama adalah pegawai dan kakitangan KBS dan Institut Sukan Negara (ISN).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 10:34 PM