Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: “Saya harap pengorbanan selama ini berbaloi.”

Demikian harapan besar pemain tengah skuad hoki wanita negara Siti Rahmah Othman (gambar) yang mengimpikan untuk layak beraksi di Piala Dunia 2018 di London menerusi kempen kelayakan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Brussels, Belgium bermula Rabu ini.

Jelasnya, dia sudah banyak berkorban termasuk meninggalkan anaknya bersama keluarga di kampung hanya semata-mata untuk memenuhi impian layak ke Piala Dunia.

“Sudah 13 tahun saya beraksi bersama skuad negara dan inilah peluang pertama dapat bermain di kempen kelayakan Piala Dunia.

“Tidak semua orang mendapat peluang seperti saya iaitu menjadi seorang ibu dan pada masa sama mempunyai tanggungjawab untuk negara.

“Harap apa yang saya korbankan selama ini menjadikan saya lebih kuat dan mahu berikan yang terbaik di sini.

“Sebab ini adalah peluang paling terbaik untuk kami layak ke Piala Dunia,” katanya.

Meskipun ramai yang skeptikal dengan kemampuan skuad wanita negara untuk layak ke Piala Dunia buat kali pertama, pemain berusia 31 tahun itu tetap percaya masih ada peluang untuk Malaysia melakukannya walaupun agak tipis.

“Berada di bawah bimbingan jurulatih (Muhammad Dhaarma Raj Abdullah) ketika ini menjadikan kami semua lebih banyak berbeza serta memperlihatkan peningkatan ketara.

“Semangat di dalam pasukan juga sangat luar biasa. Kami tinggal selangkah lagi ke Piala Dunia dan kami perlu buat sebaik mungkin,” katanya.

Malaysian Tigress akan membuka tirai perlawanan peringkat Kumpulan B bertemu Australia, Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2017 @ 4:41 AM