SKUAD hoki dalam dewan negara akan berdepan pasukan di ranking ketiga dunia, Iran, esok. FOTO ihsan MHC
SKUAD hoki dalam dewan negara akan berdepan pasukan di ranking ketiga dunia, Iran, esok. FOTO ihsan MHC
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Selepas mengharungi tiga perlawanan mudah, ujian sebenar skuad hoki lelaki negara di Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia di Bangkok, akan teruji apabila bertemu pasukan ranking ketiga dunia, Iran, esok.

Pada saingan berlangsung secara liga sepusingan membabitkan tujuh pasukan itu, skuad negara bimbingan Muhamad Amin Rahim sudah meraih tiga kemenangan berturut-turut dengan jumlah jaringan besar.

Perlawanan pertama menyaksikan skuad negara menewaskan Singapura 6-0 sebelum membelasah Taiwan 12-2 dan kemudian mengatasi Thailand 5-0, semalam.

Namun Iran yang akan ditemui esok ternyata berada dalam kelas tersendiri dan untuk itu Amin tidak mahu barisan pemainnya 'melayan' lawan mereka itu seperti tiga perlawanan sebelum ini.

"Walaupun meraih tiga kemenangan, saingan di sini belum berakhir. Saya mahu setiap pemain kekal fokus kerana ada tiga lagi perlawanan membabitkan pasukan kuat yang perlu kami hadapi.

"Untuk perlawanan keempat bertemu Iran, saya akan melakukan analisis pasukan lawan dan kita tahu Iran bukan lawan mudah kerana mereka menduduki ranking ketiga dunia.

"Tapi saya tidak mahu pemain terlalu menghormati lawan kerana kita mampu memberi tentangan kepada Iran. Apa yang penting adalah pemain perlu percaya dengan kemampuan diri serta perancangan pasukan," katanya.

Selepas Iran, skuad negara akan bertemu Indonesia pada Sabtu dan mengakhiri kempen liga sepusingan bertemu Kazakhstan keesokannya dengan dua pasukan teratas bakal beraksi di pentas final.

Sementara itu, skuad wanita negara yang diletakkan dalam Kumpulan A, sudah mengesahkan tempat ke separuh akhir meskipun masih berbaki satu perlawanan lagi bertemu Singapura esok selepas menewaskan Thailand 3-0, semalam untuk mengungguli tangga teratas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 7:44 PM