AKAUN Twitter milik Hazard.
AKAUN Twitter milik Hazard.
AFP

London: Perancang utama Chelsea, Eden Hazard berkemungkinan besar terlepas aksi awal musim depan apabila kelab juara Liga Perdana Inggeris itu mengumumkan pemain itu terpaksa diketepikan selama tiga bulan selepas menjalani pembedahan buku lali.

Buku lali pemain kebangsaan Belgium itu retak ketika dia menjalani latihan menjelang aksi persahabatan dengan Republik Czech serta perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Estonia.

“Pembedahan ke atas buku lali Eden Hazard berjalan lancar. Prosedur itu perlu dilakukan selepas bahagian itu retak ketika menjalani latihan bersama skuad kebangsaan Belgium,” menurut kenyataan yang dikeluarkan kelab itu.

“Dia dijangka kembali menjalani latihan dalam tempoh tiga bulan lagi.”

Dalam laman sosial Twitter miliknya, pemain berusia 26 tahun yang banyak membantu kemenangan Chelsea musim lalu itu memuat naik gambarnya yang sedang berbaring di katil hospital.

Di sebelah gambar itu dia menulis: “Pembedahan buku lali saya berjalan baik dan saya akan menjalani proses pemulihan. Saya akan lebih kuat selepas ini. Terima kasih atas sokongan!!”

Musim baru Liga Perdana akan bermula 12 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 10:23 AM