SALAH tonggak penting Liverpool. FOTO Reuters
SALAH tonggak penting Liverpool. FOTO Reuters
Reuters

London: Penyerang Liverpool, Mohamed Salah dinobatkan sebagai Pemain Bola Sepak Lelaki Terbaik England menerusi undian tahunan Persatuan Penulis Bola Sepak (FWA).

Ia adalah kejayaan kali kedua pemain antarabangsa Mesir itu memenangi anugerah berkenaan.

Salah, yang turut memenangi anugerah itu pada 2018, mendapat 48 peratus undi mengatasi Kevin De Bruyne dari Manchester City dan bintang West Ham, Declan Rice yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Pemain berusia 29 tahun itu menjaringkan 30 gol dan 14 bantuan gol sepanjang 44 perlawanan untuk Liverpool musim ini dan kekal sebagai tonggak penting skuad bimbingan Jurgen Klopp.

Liverpool kini ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, Manchester City ketika aksi Liga Perdana berbaki lima perlawanan.

Penyerang Chelsea, Sam Kerr membawa pulang Anugerah Pemain Bola Sepak Wanita Terbaik dengan 40 peratus undian menewaskan penyerang Arsenal, Vivianne Miedema dan Lauren Hemp dari City.

Pemain antarabangsa Australia, Kerr adalah penjaring terbanyak dalam Liga Super Wanita musim ini dengan 18 gol.

FWA berkata, Salah dan Kerr akan menerima anugerah mereka pada 5 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 6:20 PM