Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Pemanah compound negara Mohd Juwaidi Mazuki (gambar) akan memantau secara rapi prestasi pencabar dari kalangan negara Asia Tenggara pada siri pertama Piala Dunia di China, minggu depan.

Menurut pemenang gangsa Sukan SEA 2015 itu, ia adalah penting bagi menilai sejauh mana kemampuan pencabar menjelang edisi ke-29 di Kuala Lumpur, Ogos nanti.

“Bagi saya kejohanan di Shanghai adalah lebih untuk menilai kemampuan diri sendiri serta lawan menjelang Sukan SEA.

“Saya mahu melihat prestasi atlet Indonesia dan Filipina yang difahamkan mempamerkan peningkatan sejak dua tahun lalu. Ia bagi membolehkan saya merencanakan perancangan terbaik untuk menghadapi temasya di Kuala Lumpur nanti,” katanya.

Juwaidi antara prospek utama untuk meraih emas pertama kontinjen negara pada Sukan SEA selain Fatin Nurfatehah Mat Salleh pada saingan yang dijadualkan pada 16 Ogos.

Juwaidi bagaimanapun turut menaruh harapan untuk mencapai kilauan emas di Shanghai sekiranya mendapat laluan baik.

“Tahun lalu, saya tumpas pada penentuan gangsa acara campuran di lokasi sama. Saya berharap pencapaian itu mampu diperbaiki kali ini.

“Saya berharap mampu mempamerkan aksi konsisten seperti siri kedua Piala Asia di Bangkok, Mac lalu dengan meraih dua perak dan satu gangsa,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2017 @ 4:09 AM