Natasha Ezzra (kanan) dan adiknya Nur Afrina sedia mencabar. FOTO BERNAMA
Natasha Ezzra (kanan) dan adiknya Nur Afrina sedia mencabar. FOTO BERNAMA
BERNAMA

DUA atlet lawan pedang negara Natasha Ezzra Abu Bakar dan adiknya Nur Afrina Abu Bakar mahu menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 untuk membantu kontinjen negara meningkatkan pungutan pingat.

Bagi Natasha Ezzra, 26, Sukan SEA ke-29 adalah peluang untuknya memenangi pingat emas dalam acara foil sesudah terkandas pada suku akhir Sukan SEA Singapura 2015 apabila tewas tipis kepada atlet tuan rumah, Wang Wenying 14-15.

“Fizikal dan mental saya berada pada tahap 100 peratus dan saya percaya saya berada dalam prestasi terbaik untuk memburu emas sulung di Sukan SEA. Saya​​​​ mahu menampilkan aksi terbaik di hadapan rakyat Malaysia,” katanya hari ini.

Pemenang pingat gangsa pada Sukan SEA 2011 di Indonesia itu menganggap pesaing dari Vietnam dan Singapura sebagai pencabar utama kali ini namun atlet kelahiran Johor itu yakin dia mempunyai peluang baik untuk mencapai sasarannya.

Mengenai pembabitannya dalam lawan pedang, penuntut bidang pendidikan di Universiti Putra Malaysia itu berkata, minatnya tercetus selepas bapa saudaranya yang juga tenaga pengajar sukan itu di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) di Bandar Penawar, Johor memperkenalkan sukan itu kepadanya dan abangnya ketika dia berusia 14 tahun.

“Selain saya dan Nur Afrina, tiga lagi adik-beradik saya turut menceburi sukan lawan pedang,” kata anak kedua daripada enam beradik itu.

Sementara itu, Nur Afrina, 16, yang pertama kali menyertai Sukan SEA dalam acara sabre pula mahu membuktikan dia mampu menandingi lawannya walaupun turun beraksi pada usia muda.

Mula bermain sukan lawan pedang seawal usia 13 tahun, pelajar SSTMI itu mengakui berasa gementar namun menganggapnya perkara biasa kerana apa yang penting baginya adalah mencetus aksi terbaik nanti.

“Saya mahu mengutip pengalaman secukupnya bertanding pada temasya ini,” katanya.

Nur Afrina berkata, kejayaan dicapai kakaknya, Nur Natasha mendorong dia untuk berkecimpung dalam sukan itu dan berazam mahu menjadi atlet lawan pedang yang berjaya satu hari nanti.

Acara lawan pedang diadakan dari 21 hingga 23 Ogos ini di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini dan menawarkan enam pingat emas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 12:14 PM