VETTEL (kiri) cuba memotong Bottas.
VETTEL (kiri) cuba memotong Bottas.
AFP

Barcelona: Sebastian Vettel berpendapat dia sepatutnya memenangi perlumbaan Grand Prix Sepanyol kelmarin sekiranya Mercedes tidak menggunakan Valtteri Bottas untuk menghalangnya dan membantu Lewis Hamilton mencatat kemenangan.

Pendahulu kejuaraan dan juara empat kali dari Jerman itu masih tersenyum namun jelas kecewa selepas perlumbaan itu biarpun dipuji kerana aksinya ketika memintas Bottas dari Finland sewaktu perlumbaan.

“Saya tidak gembira kerana kemenangan berada di depan mata,” kata Vettel.

“Lewis mempunyai kelebihan untuk melarikan diri dan menggunakan tayar berbeza dan saya sedang mengejar Valtteri dan saya sedar mereka tidak akan membuatnya menang. Dia berdepan masalah tayar jadi mereka menggunakannya untuk menghadang saya.”

Pemandu Ferrari itu akhirnya menemui jalan memintas Bottas apabila dua kali mengacahnya dengan kelajuan pantas di laluan lurus ketika kedua-duanya menghampiri selekoh pertama.

“Bagaimanapun dia berjaya melepaskan diri di selekoh jadi saya tidak boleh melakukannya buat kali pertama,” jelas Vettel.

“Namun kali kedua, saya fikir saya perlu mencari jalan biarpun melalui kawasan rumput.

“Ia memang sengit! Saya mengacahnya di bahagian dalam kemudian saya bergerak ke luar dan ke dalam lagi, namun saya hampir membawa padah kepada kereta kerana DRS terbuka namun ia menjadi. Saya melihat ke bawah dan kehilangan banyak masa.”

Vettel kemudiannya terbabit dalam pertarungan penuh tekanan dengan Hamilton untuk merebut kejuaraan, kehilangan kedudukan pendahulu selepas hentian pit terakhir mereka apabila pemandu Britain yang menggunakan tayar lembut memecut meninggalkan pelumba Ferrari yang menggunakan tayar sederhana.

“Saya sangka keadaan pasti sukar untuknya tapi kemudian dia berjaya memecut memintas saya,” kata Vettel.

“Dia berjaya meloloskan diri dan ternyata pantas di bahagian terakhir perlumbaan dan memenanginya.

“Tahniah kepadanya. Dia memenanginya dengan adil dan anda tidak boleh merampasnya.”

Hamilton, yang teruja dengan apa yang dilakukannya, benar-benar kagum dengan pertarungan mereka, termasuk ketika kedua-dua mereka bergesel di selekoh satu selepas hentian pit kedua Vettel.

“Ia satu pertarungan yang hebat pernah saya lalui dan saya sukakannya,” kata Hamilton.

“Itulah yang diperlukan sukan ini dalam setiap perlumbaan dan itulah sebabnya saya berlumba, apa yang menyebabkan saya menyertai perlumbaan ini.

“Bersaing sengit dengannya yang juga juara dunia empat kali sesuatu yang mengagumkan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 9:11 AM