PEMANDU Ferrari, Sebastian Vettel ceria selepas menyambar petak pertama pada GP China, esok. - Foto AFP
PEMANDU Ferrari, Sebastian Vettel ceria selepas menyambar petak pertama pada GP China, esok. - Foto AFP

SEBASTIEN Vettel melakar rekod sepusingan baharu untuk Ferrari sekali gus membolehkan dia menyambar petak pertama untuk perlumbaan GP China, esok.

Vettel merakam 1 min 31.095 saat di Litar Antarabangsa Shanghai pada aksi kelayakan terakhir hari ini untuk mengatasi rakan sepasukan, Kimi Raikkonen dan Valtteri Bottas yang muncul pelumba ketiga terpantas bersama rakan sepasukan Mercedes yang juga penyandang juara, Lewis Hamilton di petak keempat.

“Jentera ini begitu mengagumkan, ia menjadi bertambah baik. Jadi saya begitu gembira,”  kata Vettel.

Catatan pelumba Jerman itu memastikan Ferrari berjaya memulakan perlumbaan di petak pertama buat kali kedua berturut-turut dalam tempoh 12 tahun meskipun Vettel mengakui sedikit gentar di beberapa selekoh ketika pusingan kelayakan.

“Keadaan saya tidak berapa baik hari ini tetapi saya tahu kalau saya berjaya melakar pusingan lebih kemas dan mengekalkan jarak, saya boleh berada pada kedudukan yang baik,”  katanya.

Hamilton hanya lewat setengah saat berbanding kelajuan Vettel dan mengakui dia tidak dapat menjelaskan jarak terbabit.

“Saya tak pasti,” kata juara dunia empat kali itu.

“Jentera berada dalam keadaan yang baik tetapi saya tidak mempunyai jawapan terhadap situasi itu. Litar ini adalah dalam kelompok tiga terbaik untuk memintas tetapi Ferrari lebih pantas pada litar lurus.

“Saya tidak tahu jika kami mampu memberi cabaran, kami ketinggalan setengah saat hari ini.”

Catatan itu sudah pasti menjadi kerisauan kepada Mercedes selepas Vettel memenangi dua perlumbaan awal musim ini di Australia dan juga Bahrain.

Dua pelumba Red Bull, Max Verstappen dan Daniel Ricciardo masing masing mengisi petak kelima dan keenam dengan pasukan itu berjaya menyiapkan jentera Ricciardo yang berdepan masalah enjin pada sesi latihan terakhir.

-AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 4:52 PM