Reuters

Barcelona: Juara dunia tiga kali Lewis Hamilton percaya dia mampu menyengat pada perlumbaan di Sepanyol minggu ini selepas gagal menyerlah di Russia.

Pemandu Britain itu gagal menjelaskan punca yang me
nyaksikan dia longlai di Sochi bulan lalu tetapi dia menunjukkan keyakinan tinggi terhadap Mercedes pada perlumbaan minggu ini.

“Ia hanyalah beberapa masalah kecil yang kami hadapi,” katanya pada sidang akhbar di Litar Catalunya.

“Kami tidak berdepan masalah besar sebaliknya hanyalah isu-isu kecil yang membuatkan kami tersasar daripada landasan sebenar. Ia sepatutnya bertambah baik minggu ini.

“Antaranya ialah masalah tayar dan saya sendiri tidak dapat menerima hakikat bahawa ia bakal menyusahkan kami,” katanya.

Formula Satu menggunakan tayar lebih lebar dan besar musim ini dan ia berbeza berbanding musim lalu. Hamilton berkata semua pasukan agak bergelut untuk menyesuaikan diri dengan tayar berkenaan.

“Saya rasa ada antara pasukan yang menemui jalan penyelesaian lebih cepat berbanding pasukan lain,” katanya.

“Penggunaan tayar baru ini memang menyeronokkan. Ia lebih keras dan secara dasarnya, lebih selamat. Minggu ini pasti menyeronokkan dan kita lihat bagaimana ia berlangsung.”

Hamilton menamatkan perlumbaan di tangga keempat di Russia sekali gus menamatkan rentetan lapan podium yang dilakukannya. Keputusan itu menyaksikan dia kini ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu dari Ferrari Sebastian Vettel.

Perlumbaan itu dimenangi rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas yang juga kejayaan pertama pelumba itu sejak menyertai Formula Satu awal tahun ini.

Hamilton berkata, kemenangan pelumba Finland itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

“Sejak awal musim, saya sudah memberitahu anda bahawa dia memang seorang pelumba yang hebat. Justeru, saya tidak terkejut apabila dia muncul pemenang,” katanya.

“Anda sendiri boleh melihat bahawa saya gembira dengan kemenangannya itu. Apa yang penting, kami dapat memintas Ferrari dalam kategori pengeluar.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2017 @ 3:55 AM