HAMILTON (tengah) menjulang trofi GP Sepanyol.
HAMILTON (tengah) menjulang trofi GP Sepanyol.
Reuters

Barcelona: Lewis Hamilton menjuarai Grand Prix Sepanyol dari petak pertama semalam untuk merapatkan jurang dengan Sebastian Vettel sebagai pendahulu kejuaraan Formula Satu kepada enam mata sebaik suku musim perlumbaan itu berakhir.

Kemenangan ke-55 pemandu Mercedes itu bagaimanapun dicapai menerusi aksi penuh tekanan apabila pelumba Ferrari Vettel merampas kedudukan pendahulu pada awal perlumbaan dan kedua-duanya saling bertarung hingga ke garisan penamat menggunakan strategi tayar masing-masing.

Pelumba Britain itu melepasi garisan penamat 3.4 saat mendahului pencabarnya dari Jerman yang melakukan segala-galanya untuk cuba memintasnya.

Pada aksi yang menyaksikan dua juara dunia itu bersaing antara satu sama lain dengan yang lainnya terus ketinggalan seperti mana perlumbaan lainnya, Daniel Ricciardo menamatkan perlumbaan 75.8 saat di belakang juara perlumbaan itu untuk berada di tangga ketiga.

Ricciardo muncul pelumba tunggal yang tidak dipintas kedua-dua pelumba itu dalam perlumbaan yang mana kedua-dua pelumba Mercedes, Valtteri Bottas dan Kimi Raikkonen dari Ferrari gagal menamatkan perlumbaan, terpaksa menamatkan cabaran selepas enjin Bottas meletup manakala Raikkonen mengalami pelanggaran pada pusingan pertama.

“Apa yang boleh saya katakan? Tugas yang menakjubkan. Strategi kami menjadi ketika hentian pit,” kata Hamilton menerusi radio pasukan sebaik melintasi garisan penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 12:36 PM