MEKANIK Ferrari menolak jentera dipandu Vettel selepas mengalami   litar pintas.
MEKANIK Ferrari menolak jentera dipandu Vettel selepas mengalami litar pintas.
AFP

Manama: Meskipun berdepan saat cemas, Sebastian Vettel tetap berjaya membuktikan bahawa dia dan Ferrari adalah pencabar kejuaraan musim ini apabila menguasai sesi latihan menjelang Grand Prix Bahrain.

Juara dunia empat kali itu mencatat masa terpantas semalam tetapi mengaku dia ‘terselamat’ apabila jentera Ferrari yang dipandunya kehilangan kuasa secara tiba-tiba sebelum enjinnya mati.

“Kami berdepan masalah litar pintas,” katanya. “Secara tiba-tiba semua peralatan mati. Enjin mati dan semuanya tidak berfungsi.

“Bagaimanapun, tidak ada sebarang kerosakan yang terlalu serius dan ia masih sempat dibaiki.

“Hari ini, kereta bukan sekadar kereta. Ia turut membabitkan teknologi dan perisian komputer dan kami mendapati ada yang tidak kena dengan bahagian itu.”

Vettel mengatasi Valtteri Bottas dari Mercedes serta Daniel Ricciardo dari Red Bull pada sesi latihan kedua dan ketiga-tiga pelumba itu hanya dibezakan menerusi catatan 0.06 saat.

“Saya rasa Mercedes kelihatan kuat hari ini tetapi kami bernasib baik dapat mengatasi masalah dan saya rasa persembahan kami hari ini memang tidak mengecewakan,” katanya.

Vettel berkongsi kedudukan selaku pendahulu dengan juara tiga kali Lewis Hamilton dari Mercedes selepas dua perlumbaan. Kedua-duanya mengumpul 43 mata.

Hamilton gagal menamatkan pusingan di sesi kedua dan jenteranya dipintas Nico Hulkenberg dari Renault dengan kaedah yang dianggap berbahaya hingga mengakibatkan dia sekadar menduduki tangga kelima terpantas di belakang Kimi Raikkonen yang memandu Ferrari.

Hamilton dan Hulkenberg diarah berjumpa dengan pegawai perlumbaan selepas sesi latihan.

“Pemandu ini berlumba dengan gaya yang berbahaya,” kata Hamilton menerusi radio pasukannya.

Ketika Hamilton meluahkan kekecewaannya, rakan sepasukannya Bottas pula terbabit dalam satu lagi insiden apabila sayap jenteranya tercabut dan melayang ke atas litar sebelum serpihan itu dirempuh Max Verstappen dari Red Bull hingga mengakibatkan lantai jenteranya rosak dan hanya menamatkan 18 pusingan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2017 @ 3:53 AM