PEMAIN  T-Team  Fauzi Abdul Kadar (kanan) mengasak    pemain  Perak.
PEMAIN T-Team Fauzi Abdul Kadar (kanan) mengasak pemain Perak.

Kuala Terengganu: Isu pemotongan mata sedikitpun tidak menjejaskan aksi T-Team sebaliknya skuad kendalian Rahmad Darmawan dilihat semakin garang dengan menjadikan skuad Perak sebagai mangsa terbaru.

Malah kemenangan ketiga berturut-turut itu selepas membelasah Kedah 5-0, diikuti Selangor 1-0 dan Perak 3-0 malam kelmarin juga membuktikan skuad yang dikenali Tibang T-Team Tibang itu semakin bernafsu dan serasi.

“Malam ini (kelmarin) semua pemain beraksi dengan amat baik dan menjadi, bermula dari pertahanan hinggalah ke posisi serangan, sehingga lawan semacam hilang akal untuk menguasai dan menembusi benteng pertahanan kami.

“Dengan aksi cemerlang pemain ini, akhirnya kami berjaya meledak tiga gol biarpun masih terasa dengan isu pemotongan enam mata dalam carta liga,” kata Rahmad.

Dalam aksi malam kelmarin, The Titans bagaikan mahu membuktikan skuad itu patut menang dalam aksi pusingan pertama dengan skuad The Bos Gaurus pada 8 April lalu ketika pengadil menghadiahkan sepakan kepada lawan untuk menjadikan kedudukan 2-2.

Namun dalam aksi itu pemain yang sering dikritik kerana prestasi tidak menentu Mamadou Samassa membuka tirai jaringan pada minit kelapan sebelum dua lagi jaringan menerusi pertahanan Wan Amirzafran Wan Nadris dan Farhod Tadjiyev.

Dengan kejayaan itu skuad The Titans yang menjadi mangsa pemotongan enam mata oleh Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) kembali berada di tangga ketujuh liga dengan mengutip 13 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2017 @ 10:57 AM