PEMAIN T-Team sedang jalani latihan.
PEMAIN T-Team sedang jalani latihan.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengurusan T-Team mengambil langkah drastik dengan menyambung latihan dua hari selepas sambutan Aidilfitri sebagai persediaan mengharungi saingan liga dan Piala Malaysia yang bermula 1 Julai depan.

Ketua jurulatih T-Team Rahmad Darmawan berkata, langkah itu penting buat pemainnya supaya mereka sentiasa berada pada tahap terbaik dan cergas serta bertenaga ketika beraksi.

Selain itu, jurulatih kelahiran Jakarta, Indonesia itu berkata, jadual perlawanan yang begitu padat bermula awal Jun hingga Ogos nanti membuatkan beliau tidak mempunyai pilihan kecuali meningkatkan stamina dan kekuatan fizikal anak buahnya.

Kata Rahmad, pemain hanya diberi cuti selama dua hari saja sempena Aidilfitri dan selepas itu latihan akan disambung semula seperti biasa kerana pada hujung minggu The Titans akan berkunjung ke laman lawan bertemu Selangor.

“Pemain akan mula bercuti pada 23 hingga 26 Jun dan latihan akan disambung semula pada 27 Jun sebagai persediaan awal pemain supaya lebih fokus.

“Tempoh cuti yang singkat itu bertujuan mengelak pemain kurang cergas kerana pada hujung minggu iaitu pada hari Sabtu, kami akan berdepan dengan skuad Red Giants dalam kancah liga dan tiga hari selepas itu bertemu pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dalam aksi pertama Piala Malaysia,” kata Rahmad.

T-Team yang bakal menggunakan kudrat awang import baru, Yannick N'Djeng untuk mengemudi jentera serangan mahu meneruskan rentak kemenangan ke atas Selangor selepas menang 1-0 dalam aksi liga pusingan pertama April lalu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu hasil jaringan Fauzi Abdul Kadar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2017 @ 4:50 AM