Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Walaupun jadual sepak mula saingan Liga Malaysia (Liga-M) masih panjang iaitu minggu ketiga Januari 2017 tetapi skuad T-Team giat melakukan persiapan awal dengan ‘berkampung’ di Indonesia selama lapan hari untuk berlatih serta mengharungi beberapa siri perlawanan persahabatan.

Ketua jurulatih T-Team Rahmad Darmawan berkata, semua pemain The Titans termasuk dua pemain import dari Mali Makan Konate dan Abdoulaiye Yousouff Maiga akan turut serta mengikuti rombongan yang bakal bertolak pada hari ini sehingga 12 Disember.

“Kami dijadualkan berlatih di Indonesia dan akan mengadakan empat siri perlawanan persahabatan dengan pasukan Liga Perdana Indonesia dalam misi untuk memantapkan lagi pasukan menjelang aksi Liga Super yang dijadual pada minggu ketiga Januari depan.

“Selain Konate dan Maiga, turut bersama dengan kem pasukan The Titans ke Indonesia adalah beberapa pemain import lain termasuk dari Cameroon dan Uzbekistan kerana kita masih memerlukan dua lagi pemain import terutama di posisi tengah dan serangan.

“Bagaimanapun ini bukan bermakna Konate dan Maiga sudah sah bersama The Titans kerana dua pemain yang membantu T-Team mara ke separuh akhir Piala Malaysia musim lalu itu perlu diuji bagi mengelak kita mengambil pemain yang cedera,” kata bekas pengendali kebangsaan Indonesia itu.

Mengenai pemain tempatan yang dikhabarkan menjadi rebutan beberapa pasukan termasuk daripada skuad Terengganu, Rahmad berkata setakat ini beliau bersama pihak pengurusan hanya melepaskan dua penjaga gol iaitu Mohd Ilham Amirullah Razali yang berhijrah ke FELDA United dan Wan Mohd Azraie Wan Teh ke Pahang.

“Selain itu, pemain lain yang dilepaskan termasuk pemain tengah Mohd Asrol Ibrahim ke Terengganu dan Mohd Safawi Rasid (Johor Darul Ta’zim) manakala pemain pertahanan Mohd Arif Fadzilah Abu Bakar dan Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris yang dilaporkan diintai pasukan lain masih kekal bersama T-Team,” kata Rahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2016 @ 5:13 AM