Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Arkitek skuad T-Team Makan Konate (gambar) enggan memikirkan mengenai tawaran yang diterimanya musim depan sebaliknya pemain dari Mali itu mahu fokus terlebih dahulu aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia bertemu Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.

Bekas pemain B-19 Mali itu yang bergandingan baik dengan Asrol Ibrahim pada separuh akhir pertama 1 Oktober lalu bagaimanapun mengakui dia lebih tenang dan selesa bersama skuad kendalian ketua jurulatih Rahmad Darmawan yang juga bertanggungjawab membawanya beraksi dengan skuad T-Team musim ini.

“Hati saya memang untuk bersama dengan The Titans musim depan lebih-lebih lagi gembira tinggal di bumi Terengganu dengan suasana pantai yang cantik dan masyarakat yang peramah, namun saya belum mahu membuat keputusan muktamad lagi pasukan mana yang akan diwakili musim depan kerana mahu fokus aksi Piala Malaysia terlebih dulu.

“Lagipun saya tidak boleh membuat keputusan sendiri kerana perlu berbincang dengan ejen yang membawa saya beraksi bersama skuad T-Team ini sama ada ejen itu bersetuju atau saya akan mewakili skuad lain musim depan,” kata pemain yang baru menamatkan zaman bujang itu.

Musim ini pemain berusia 24 tahun itu bukan hanya menjadi nadi kekuatan pasukan Tibang T-Team Tibang itu tetapi dia turut menjadi peledak pasukan itu dan setakat ini sudah mengumpul enam jaringan dalam saingan Liga Super.

Selain itu pemain yang juga adik ipar kepada pemain pertahanan T-Team, Abdoulaye Youssouf Maiga turut menjadi contoh dan pembimbing kepada pemain muda dalam skuad itu serta dilihat kian serasi bersama pasukan kendalian Rahmad.

Mengulas lanjut, bekas pemain kelab Persib Bandung dalam Liga Super Indonesia itu juga mahukan rakan sepasukan tidak melakukan kesilapan mudah dan perlu lebih fokus serta beraksi bagaikan satu pasukan bagi memastikan kelebihan 2-1 yang dimiliki lawan dapat dipadamkan untuk layak ke final buat kali pertama.

Selain itu, Konate yang pernah membantu kelab Persib Bandung muncul juara Liga Super Indonesia 2014 turut mahukan rakan sepasukan melupakan sebarang permasalahan sebaliknya beraksi bersungguh-sungguh hingga minit terakhir perlawanan serta mengikut perancangan dan taktikal yang diatur oleh jurulatih.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 10:46 AM