DARI kiri, Aiman Zikri, Amirah Zalifah  dan Muhd Naqiuddin menerima anugerah cemerlang pada majlis Konvokesyen Perdana Institusi Pendidikan MARA di PICC, semalam.
DARI kiri, Aiman Zikri, Amirah Zalifah dan Muhd Naqiuddin menerima anugerah cemerlang pada majlis Konvokesyen Perdana Institusi Pendidikan MARA di PICC, semalam.
Siti A’isyah Sukaimi


PUTRAJAYA: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak memberangsangkan bukan bererti seseorang itu tidak boleh berjaya.

Ini dibuktikan graduan Institut Kemahiran MARA (IKM) Alor Setar, Muhd Naqiuddin Mohamad Nasri yang bukan saja memperoleh Nilai Gred Purata Kumulatif (CGPA) 3.99, malah mampu memiliki perniagaan pembuatan perabot sendiri sejak mengikuti pengajian di pusat itu.

Dengan bakat sedia ada ditambah kemahiran dan ilmu diperoleh sepanjang bergelar penuntut, anak kedua daripada empat beradik ini mampu mencipta peluang kerja, sekali gus membuktikan kebolehpasaran graduan IKM yang mampu berdaya saing dan memenuhi keperluan tenaga kerja.

Berkongsi kisahnya, Muhd Naqiuddin, 24, yang menerima Anugerah Graduan Cemerlang berkata, dia melanjutkan pengajian peringkat sijil seterusnya Diploma Teknousahawan Rekabentuk dan Pengeluaran Perabot selepas dicadangkan bapanya memandangkan sangat meminati pertukangan.

“Sejak dari tingkatan satu dan setiap kali cuti sekolah hujung tahun, saya bersama rakan melakukan kerja sambilan pembuatan perabot. Saya pula kurang pandai dan tidak serius belajar.

“Ketika mengikuti pengajian di IKM Alor Setar, saya mencari pengalaman dan banyak belajar pelbagai perkara termasuk berkait keusahawanan, sekali gus mendorong untuk menubuhkan dan mendaftar syarikat sendiri dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Alhamdulillah dalam tempoh dua tahun, saya memperoleh pulangan sehingga RM270,000 dan kini meningkat RM320,000 selain menggaji tiga pekerja, sekali gus mampu memberi peluang kerja kepada orang lain,” katanya ketika Majlis Konvokesyen Perdana Institusi Kemahiran MARA (IPMa) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus yang menyampaikan anugerah serta skrol diploma kepada graduan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Kolej Profesional MARA (KPM), MARA-Japan Industrial Institute (MJII) dan IKM.

Seorang lagi graduan Diploma Teknologi Pengejukan Dan Penyampaian Udara dari IKM Sik, Kedah, Aiman Zikri Azizan, 20, diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Industri.

Dia yang berasal dari Kangar, Perlis bakal diambil bekerja dengan syarikat pendingin hawa jenama terkemuka, Acson sebaik menamatkan pengajian.

“Saya menjalani latihan industri di syarikat berkenaan dan ini rezeki saya apabila diberi peluang bekerja di syarikat itu.

“Ini membuktikan kemahiran dan ilmu diperoleh di IKM memenuhi keperluan industri,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi graduan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Robotik dan Automasi) MJII, Amirah Zalifah Ab Rahman, 24, diumumkan penerima Anugerah Graduan Terbaik MJII dengan CGPA 3.84.

“Bidang robotik sebenarnya lasak dan ketika bergelar penuntut, dalam kelas saya hanya tiga penuntut wanita manakala selebihnya lelaki.

“Namun, saya berjaya membuktikan wanita juga mampu melakukan yang terbaik biar pun bidang ini lebih ramai dikuasai lelaki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 6:30 AM