TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan Anugerah Graduan Terbaik kepada Hood Haqqi  di Majlis Konvokesyen Perdana IPMA 2023 di Dewan Merdeka, WTCKL. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan Anugerah Graduan Terbaik kepada Hood Haqqi di Majlis Konvokesyen Perdana IPMA 2023 di Dewan Merdeka, WTCKL. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Suliati Asri


Kuala Lumpur: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi sektor pendidikannya berperanan penting menyumbang kepada sumber tenaga manusia negara yang bersifat holistik khususnya dalam bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan profesional.

Kurikulum pendidikan IPMA yang mempunyai 343 buah institusi iaitu 14 Institut Kemahiran MARA (IKM), 10 Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), sebuah MARA Japan Industrial Institute (MJII), sebuah Universiti Poly-Tech MARA (UPTM), tujuh (7) Kolej Profesional MARA (KPM), tujuh (7) Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), sebuah German Malaysian Institute (GMI), dua belas (12) Universiti Kuala Lumpur (UniKL), empat (4) Kolej MARA, 55 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan 231 GIATMARA menjadi wadah latihan kemahiran dan profesionalisme seiring dengan perubahan teknologi industri.

Sehingga kini, IPMA sudah melahirkan 749,186 graduan yang merangkumi 716,832 graduan TVET dan 32,354 graduan profesional dan separa profesional.

Keupayaan dan kebolehan graduan turut dipacu bersama industri serta badan profesional bagi memberi pengiktirafan mengikut bidang kepada graduan seperti kolaborasi KPM bersama Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW), Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT), Chartered Institute of Marketing (CIM), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan banyak lagi.

Peningkatan kemahiran graduan TVET diperkasakan lagi melalui peranan (Industry Center of Excellence - ICOE) yang dilaksanakan oleh MARA untuk menguasai pengajian berteknologi tinggi kepada graduan.

MARA turut mengambil inisiatif jaminan peluang pekerjaan dengan memperkasakan program latihan kemahiran kepada pelatih di bawah Ensuring Employability Programme (EEP) menerusi tiga program iaitu Graduate Employability Training Scheme (GETS), Industry Boot Camp (IBC) dan dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana Kerjaya MARA).

Langkah itu juga secara tidak langsung menjadikan graduan IPMA memenuhi kehendak industri. Graduan Diploma Kejuruteraan Pembuatan (Rekabentuk Pembuatan) KKTM Kuantan, Hood Haqqi Mohd Adzlan, 22, berkata, modul pembelajaran yang dilaksanakan di KKTM membabitkan 70 peratus praktikal dan 30 peratus teori.

Menurutnya, kemudahan mesin-mesin disediakan di bengkel KKTM adalah terkini, sekali gus membuatkan dirinya tidak kekok untuk mempraktikkan ilmu yang dipelajari di lapangan.

"Di KKTM, kami banyak didedahkan dengan latihan amali berbanding teori selain mesin yang digunakan adalah berteknologi baru seperti mana yang digunakan oleh pihak industri.

Suasana di Majlis Konvokesyen Perdana IPMA 2023 di Dewan Merdeka, WTCKL. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Suasana di Majlis Konvokesyen Perdana IPMA 2023 di Dewan Merdeka, WTCKL. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN

"Disebabkan sudah terbiasa menggunakan mesin yang ada dan persekitaran industri yang lebih kurang sama dengan KKTM, semasa melakukan latihan industri ia memudahkan proses 'pembelajaran sambil bekerja'," katanya ketika ditemui pada majlis Graduan IPMA 2023, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Hood Haqqi dianugerahkan sebagai Graduan Cemerlang TVET dan turut menerima tawaran biasiswa melanjutkan pengajian di Jerman pada hujung tahun ini. Hood Haqqi berkata, dia sama sekali tidak menyangka akan menjadi graduan terbaik dan diberi peluang menyambung pengajian di luar negara.

"Cita-cita saya adalah ingin menjadi guru namun tidak kesampaian kerana keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak memenuhi kelayakan mengambil kos pendidikan.

"Jadi, saya ambil TVET. Saya sangat tidak menyangka akan sampai ke tahap ini. Oleh itu, bagi rakan-rakan atau sesiapa saja yang masih tercari-cari hala tuju, ambillah bidang TVET yang ditawarkan di IPMA.

"Selain menyediakan modul dan kemudahan yang seiring dengan industri, IPMA juga mempunyai banyak jalinan kerjasama yang pastinya memberikan banyak peluang kepada graduannya," katanya.

Bagi penerima Anugerah Khas Badan Profesional dari Institute Chartered of Accountants In England and Wales (ICAEW), Ahlam Syah Burhan, 21, berkata, Program Certificate of Finance, Accounting and Business (CFAB) yang diikuti itu sangat mencabar kerana ia mengikuti silibus dan undang-undang di United Kingdom.

Menurutnya, kebanyakan mereka yang mengambil ICAEW ini sudah mempunyai diploma atau sarjana muda berbanding dirinya dan juga rakan-rakan yang bermula dengan SPM saja.

"Sepanjang tempoh pengajian, saya bersama rakan-rakan perlu bekerja keras dan bersyukur kerana tenaga pengajar di KPM yang berpengalaman banyak membantu.

"Dari segi modul pula, sudah semestinya semua ilmu yang dipelajari dapat diaplikasikan bukan saja semasa membuat latihan industri semata tetapi juga di dalam kerjaya.

"Walaupun masih ada sedikit kelainan tapi asas itu ada. Jadi, mudah sedikit untuk memahami setiap proses yang dilakukan semasa latihan industri," katanya.

Ahlam Syah sangat menggalakkan graduan atau anak muda untuk menyertai IPMA kerana MARA adalah satu institusi yang sangat menjaga kebajikan dan membantu pelajarnya.

"Saya tidak akan mampu untuk menyambung pengajian tetapi MARA menawarkan biasiswa untuk saya mengambil bidang ini.

"Oleh itu, ini satu peluang yang Bumiputera perlu garap dan tidak mensia-siakannya kerana bukan semua orang dapat menyertai IPMA ini. Ia terpilih," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan 3D Gens Sdn Bhd Dr Azhar Aziz berkata, kemahiran graduan IPMA mengendalikan mesin-mesin terbaru antara sebab syarikatnya tidak hanya mengambil pelajar untuk latihan industri, tetapi terus diserap sebagai pekerja.

Menurutnya, IPMA terutama KKTM Kuantan misalnya selain modul pembelajaran yang sangat diperlukan industri kebanyakan mesin yang digunakan mereka adalah berteknologi canggih dan terkini.

"Operasi syarikat kami banyak menggunakan teknologi pencetakan tiga deminsi (3D) yang terkini.

"Jadi, apabila mereka sudah terbiasa dengan mesin yang digunakan di industri, ia bukan saja memudahkan pelajar tetapi juga kepada kami, pihak industri," katanya.

KURIKULUM pendidikan IPMA  menjadi wadah latihan kemahiran dan profesionalisme seiring dengan perubahan teknologi industri. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
KURIKULUM pendidikan IPMA menjadi wadah latihan kemahiran dan profesionalisme seiring dengan perubahan teknologi industri. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN

Dr Izhar berkata, sebagai pemain industri yang sudah menjalinkan kolaborasi bersama MARA sejak 2019, kerjasama erat antara industri dan institusi pengajian sangat perlu.

"KKTM menyediakan mesin yang relevan dan terbaharu yang diperlukan oleh industri. Industri pula sentiasa memberi input terkini.

"Jadi dengan adanya kerjasama dua hala ini, ia dapat wujudnya pusat pengajian yang sangat diperlukan oleh industri terutama industri IR4.0," katanya.

Katanya, pihaknya juga akan berkolaborasi dengan IPMA khususnya KKTM Kuantan untuk sama-sama membangunkan modul terbaru dan juga dalam usahasama untuk menaik taraf kemahiran tenaga pengajar.

"Kerjasama ini sangat baik kerana kami pihak industri bukan saja dapat memahami KKTM dan tenaga pengajar, tetapi juga memahami keperluan pelajar," katanya yang berharap lebih ramai lagi belia menyertai TVET.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 7:02 AM