SEBAGAI Sous Chef (Halal Kitchen) di M HOTEL Singapura, Mohamad Nazrin perlu menyelia makanan yang dihidangkan kepada pelanggan.
SEBAGAI Sous Chef (Halal Kitchen) di M HOTEL Singapura, Mohamad Nazrin perlu menyelia makanan yang dihidangkan kepada pelanggan.
Suliati Asri


MENGALAMI kemalangan ketika dalam proses pemilihan memaksanya melupakan hasratnya untuk menyarungkan uniform sebagai anggota tentera.

Atas nasihat ibu bapa dan orang sekeliling, Mohamad Nazrin Abdul Razak, 32, akhirnya terpaksa akur menyambung pengajian dalam bidang kemahiran, Diploma Penyediaan Makanan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah, Melaka.

Awalnya, ia adalah perjalanan yang sangat sukar kerana selama ini dia tidak pernah terfikir untuk menceburi bidang kemahiran.

Namun, lama kelamaan minat terhadap bidang ini bercambah apabila menyedari peluang kerjaya dalam pengurusan makanan ini sangat luas.

Kini, anak kelahiran Kampung Parit Pulai, Batu Pahat, Johor ini bukan sahaja memperoleh ilmu kemahiran tetapi turut bergelar Head Chef (Halal Kitchen) di M HOTEL Singapore.

SELAIN menjadi Sous Chef, Mohamad Nazrin juga aktiif mengadakan kelas memasak.
SELAIN menjadi Sous Chef, Mohamad Nazrin juga aktiif mengadakan kelas memasak.

Berkongsi pengalamannya, Mohamad Nazrin berkata, minatnya terhadap kemahiran dan bidang masakan datang selepas didenda pensyarahnya.

Katanya, dia perlu membuat kajian mengenai 100 jenis herba dan senaraikan nama saintifik, fungsi dan aroma dalam masa 24 jam.

"Ketika itu, saya langsung tidak tahu apa itu herba. Inikan pula fungsi dan aromanya. Disitulah minat mempelajari bidang masakan timbul sehingga kini.

"Ditambah pula dengan silibus pengajian di IKTBN Alor Gajah yang seimbang bermula dengan modul (teori) dan praktikal, ia memudahkan saya untuk mendalami lagi bidang ini," katanya.

Namun, perjalanan Mohamad Nazrin tidak mudah dan cukup mencabar.

GAMBAR kenangan Mohamad Nazrin bersama rakan-rakan semasa praktikal amali akhir semasa belajar di IKTBN.
GAMBAR kenangan Mohamad Nazrin bersama rakan-rakan semasa praktikal amali akhir semasa belajar di IKTBN.

Di awal pengajian, ia sangat sukar untuk diterima terutama dalam mengendalikan dapur.

Paling mencabar baginya, adalah cara penggunaan pisau kerana tersilap teknik, lain jadinya.

"Apabila berada di dapur, perkara paling utama adalah cara penggunaan pisau. Jika tidak mahir mengendalikan pisau atau dipanggil 'pisau baru nak kenal tuan,' kita perlu lebih berhati-hati.

"Namun, apabila sudah biasa dan mahir, semuanya akan berjalan dengan baik," katanya.

Mohamad Nazrin berkata, dia juga pernah terfikir untuk berhenti dalam bidang masakan itu ketika menjalani latihan industri apabila ditugaskan di dapur utama.

"Tekanan, diherdik, perlu menguruskan dapur dengan baik, pengeluaran keluar masuk makanan dari dapur dan melakukan kerja tanpa mengira masa dan sebagainya.

"Bagaimanapun, saya teruskan juga kerana semua itu sebenarnya mengajar saya untuk menjadi kuat mental dan fizikal.

"Saya juga mengambil pendekatan, apa yang dilalui itu adalah realiti sebenar 'si tukang masak," akuinya.

Mengulas mengenai bidang kemahiran atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Mohamad Nazrin berkata, bidang ini sangat bagus kerana dapat membuka mata dan minda anak muda sebelum mereka menjalani kehidupan di alam pekerjaan sebenar.

MOHAMAD Nazrin (tiga dari kiri) bersama rakan-rakan di IKTBN Alor Gajah.
MOHAMAD Nazrin (tiga dari kiri) bersama rakan-rakan di IKTBN Alor Gajah.

Katanya, bidang ini juga menyediakan pelbagai cabang ilmu dan peluang pekerjaan yang meluas.

"Sepanjang mengikuti pengajian dalam bidang penyediaan makanan di IKTBN, bagi saya ia adalah tapak permulaan untuk meneroka bidang ini.

"Banyak peluang yang akan diperoleh dalam bidang ini kerana modul yang disampaikan menyeluruh bermula dengan pengendalian dapur, bahan mentah, pengurusan restoran, coasting dan sebagainya.

"Dari situ pelatih boleh memilih sama ada mahu menceburkan diri dalam industri perhotelan atau berniaga sendiri," katanya.

Bagi Mohamad Nazrin sendiri, dia bekerja dalam industri perhotelan dan dalam masa sama mengadakan kelas memasak bagi mereka yang ingin memperbaiki menu makanan di restoran.

Dia juga mengajar individu yang ingin mempelajari pelbagai jenis masakan dan makanan.

Merasai sendiri 'kemanisan' menceburi bidang kemahiran, Mohamad Nazrin sangat menggalakkan anak muda di luar sana untuk merebut peluang yang ada dalam bidang ini.

"Cabang kerjaya dalam TVET atau kemahiran kini sangat meluas. Permintaan terhadap graduan kemahiran ini juga sangat tinggi.

"Kerajaan juga kini menyediakan pelbagai peluang untuk memperkasa bidang ini.

"Oleh itu, rebutlah peluang yang terbuka luas buat kalian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 7:00 AM