PENGALAMAN menyertai WSMP dapat melancarkan sesi pembelajaran dan latihan khusus kepada pelajar yang akan menyertai pertandingan.
PENGALAMAN menyertai WSMP dapat melancarkan sesi pembelajaran dan latihan khusus kepada pelajar yang akan menyertai pertandingan.
Suliati Asri


Pertandingan kemahiran yang dianjurkan Worldskills Malaysia adalah pertandingan dinanti-nanti terutama mereka yang terbabit dalam bidang kemahiran mahupun Pendidikan Teknikal dan latihan Vokasional (TVET).

Setiap tahun, Worldskills Malaysia menganjurkan pelbagai pertandingan antaranya Worldskills Malaysia Belia 2022, JuniorSkills Malaysia 2022, Pertandingan Worldskills Asia Onlineskills Challenge 2022, Worldskills Competition 2022 Special Edition dan Worldskills Malaysia Pengajar (WSMP).

Namun, masih ramai masyarakat yang tidak mengetahui, Worldskills Malaysia juga menganjurkan Worldskills Malaysia Pengajar (WSMP).

WSMP adalah pertandingan kemahiran untuk meningkatkan kekompetenan dan daya saing dalam kalangan pengajar atau jurulatih institusi latihan kemahiran atau pendidikan awam, swasta serta industri.

Dengan adanya pertandingan ini, pengajar dapat bersaing secara sihat untuk menunjukkan kemahiran yang dimiliki di samping mendapat pengiktirafan dan ganjaran ditawarkan.

Bukan itu saja, pembabitan pengajar kemahiran dan TVET dalam WSMP tidak hanya meningkatkan kekompetenan diri tetapi membolehkan mereka membantu pelajar yang bertanding dalam mana-mana pertandingan peringkat kebangsaan, Asia mahupun antarabangsa.

Ini kerana mereka juga turut merasai sendiri suasana pertandingan yang akan disertai pelajar.

 MOHD Nazeri menunjukkan hadiah pingat platinum yang diterima pada Majlis Penyampaian Pingat Pertandingan Kemahiran Worldskills Malaysia 2022.
MOHD Nazeri menunjukkan hadiah pingat platinum yang diterima pada Majlis Penyampaian Pingat Pertandingan Kemahiran Worldskills Malaysia 2022.

Pemenang pingat Platinum WSMP 2022 dalam bidang Penerapan Bata, Mohd Nazeri Abdol, 38, berkata, penganjuran pertandingan ini adalah peluang yang besar buat pengajar menguji tahap kemahiran dan kecekapan diri.

"Pertandingan ini sangat perlu disertai tenaga pengajar kerana ia dapat mengukur tahap kekompetenan pengajar.

"Dianjurkan setiap tahun dengan bidang yang berbeza, WSMP ini juga adalah bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang tenaga pengajar dalam bidang kemahiran.

"Dengan itu, pengajar sendiri dapat menguji tahap kecekapan mereka dan meningkatkan lagi kemahiran dimiliki sekali gus mampu memberi yang terbaik kepada pelajar," katanya.

MUHAMMAD Adha (tengah) menerima hadiah yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud (tengah) diiringi Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, Ts Dr Mohamad Sulaiman (tiga dari kiri) pada Majlis Penyampaian  Pingat Pertandingan Kemahiran Worldskills Malaysia 2022.
MUHAMMAD Adha (tengah) menerima hadiah yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud (tengah) diiringi Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, Ts Dr Mohamad Sulaiman (tiga dari kiri) pada Majlis Penyampaian Pingat Pertandingan Kemahiran Worldskills Malaysia 2022.

Mohd Nazeri yang juga tenaga pengajar dalam bidang binaan dan hiasan di Kolej Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) berkata, pertandingan yang membabitkan pengajar ini juga perlu disertai supaya tenaga pengajar dapat merasai sendiri situasi sebenar sesuatu pertandingan.

"Menerusi pertandingan ini, pengajar boleh meningkatkan kemahiran kerana dalam pertandingan, cara pemarkahannya adalah berlainan.

"Gerak kerjanya juga berbeza kerana kita perlu mengikuti standard yang ditetapkan.

"Bukan itu saja, pertandingan ini dapat melahirkan pengajar yang boleh mengajar pelajar atau belia supaya mereka mengetahui cara kerja dan teknik sesuatu kerja itu lebih baik," katanya.

Pertandingan kemahiran   Worldskills Malaysia sentiasa dinantikan mereka yang terbabit dalam bidang kemahiran TVET.
Pertandingan kemahiran Worldskills Malaysia sentiasa dinantikan mereka yang terbabit dalam bidang kemahiran TVET.

Mengulas lanjut, Mohd Nazeri berkata, WSMP ini adalah peluang pengajar meningkatkan kemahiran dan sangat menggalakkan pengajar dalam apa juga bidang kemahiran menyertainya.

"WSMP ini memang perlu diadakan dan saya menyokong penuh pertandingan ini walaupun bidang yang dipertandingkan setiap tahun adalah berlainan.

"Pengajar juga perlu mengambil peluang dengan menyertainya bagi memperlihatkan kemahiran yang ada supaya pelajar atau belia boleh melihat sendiri kemahiran tenaga pengajar dalam bidang kemahiran atau TVET ini," katanya turut mempunyai pengalaman menyertai Worldskill peringkat Asia di Brunei dan peringkat dunia di Jepun.

Sementara itu, bagi penerima pingat Emas WSMP 2022 dalam bidang masakan, Mohammad Adha Yusuf berkata, pertandingan ini turut membuktikan kepada semua bahawa tenaga pengajar dalam TVET mempunyai kemahiran yang tinggi.

MOHD Nazeri teliti dan tekun menyiapkan tugasan yang diberikan ketika pertandingan.
MOHD Nazeri teliti dan tekun menyiapkan tugasan yang diberikan ketika pertandingan.

Menurut Muhammad Adha yang berpengalaman mengajar selama 14 tahun dalam bidang penyediaan makanan, di Institusi Kemahiran Tinggi Belia Negara Bachok, WSPM ini benar-benar menguji dan mengasah kemahiran pengajar.

"Pertandingan ini bagus untuk pengajar merasai sendiri perasaan sebenar ketika mengikuti sesuatu pertandingan besar.

"Dengan itu, sebagai pengajar atau jurulatih kita akan lebih memahami keperluan pelajar yang sedang berlatih.

"Secara tidak langsung dengan pengalaman mengikuti pertandingan berskala besar ini juga, kita boleh membantu pelajar untuk mengatasi semua masalah yang berlaku tanpa di duga ketika pertandingan sedang berlangsung," katanya.

Muhammad Adha berkata, menyertai pertandingan ini bukan untuk bangga diri tetapi baginya ia lebih kepada mahu mencabar diri.

"Pada WSPM tahun lalu, semua tenaga pengajar yang bertanding adalah mereka-mereka yang hebat dan berpengalaman.

"Jadi, apabila menang, ia adalah keputusan yang sangat tidak disangka," katanya.

Selain itu, menerusi pertandingan ini juga, Muhammad Adha berpeluang mendapat banyak 'input' baharu.

"Selain WSMP, saya juga sering menyertai pertandingan-pertandingan kecil yang diadakan. Namun, WSMP nyata lebih mencabar.

"Setiap pertandingan mempunyai peraturan dan standard sendiri. Begitu juga dengan pertandingan ini yang secara tidak langsung memerlukan saya melakukan banyak persediaan dan perancangan yang lebih terperinci.

"Oleh itu, bagi pengajar di luas sana, rebutlah peluang untuk menyertai WSMP ini jika bidang kalian dipertandingkan pada tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 6:10 AM