KEBOLEHPASARAN kerja bagi IKTBN meningkat sehingga 93.7 peratus.
KEBOLEHPASARAN kerja bagi IKTBN meningkat sehingga 93.7 peratus.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Bidang kemahiran bukan saja menarik minat lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tapi turut mendapat permintaan tinggi dan menjadi buruan pengamal industri.

Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua, Hulu Langat merekodkan peratusan kebolehpasaran kerja bagi lulusan institusi itu meningkat hingga 93.7 peratus.

Pengarah IKTBN Dusun Tua Dalila Sharingat berkata, kerjasama industri yang dijalankan antara faktor penyumbang bagi peningkatan kebolehpasaran kerja lulusan institusi berkenaan.

BIDANG kemahiran bukan saja menarik minat golongan muda kini tapi turut menjadi buruan pelbagai pihak indsutri.
BIDANG kemahiran bukan saja menarik minat golongan muda kini tapi turut menjadi buruan pelbagai pihak indsutri.

“Jalinan industri membantu institusi kemahiran seperti kami untuk menyelitkan modul pengajian dunia sebenar dalam silibus. Jadi, ia secara tidak langsung memudahkan pelajar dan pihak industri kerana mereka tidak perlu menjalankan latihan semula selepas tamat pengajian.

“Selain itu, jalinan itu juga membantu pihak institusi untuk mengemas kini pengetahuan dan kemahiran tenaga pengajar selari dengan arus semasa serta teknologi terkini.

“Namun, hasil daripada kerjasama seperti ini sebenarnya paling banyak menyumbang kepada kebolehpasaran kerja pelajar kami,” katanya.

Katanya, kursus kenderaan perdagangan seperti lori dan bas mempunyai permintaan yang tinggi daripada pengamal industri.

“Sebenarnya, kami tidak cukup bekalan tenaga kerja untuk disalurkan kepada pihak industri seperti Fuso, Mercedes-Benz, Volvo dan Nissan.

“Kebanyakan pengamal industri gemar mendapatkan pelajar IKTBN bukan saja kerana kemahiran tapi sikap dan kemahiran insaniah yang tinggi,” katanya.

PELAJAR bukan saja tumpukan  kemahiran teknikal tapi turut diberikan kemahiran insaniah menjadikan mereka diburu pihak industri.
PELAJAR bukan saja tumpukan kemahiran teknikal tapi turut diberikan kemahiran insaniah menjadikan mereka diburu pihak industri.

Menurut Dalila, IKTBN juga menyerapkan sistem pembelajaran berbeza bagi bidang kemahiran membuatkan pelajar mudah mendapat kerja sebaik tamat pengajian.

“Sistem pengajian di sini menerapkan 80 peratus teknikal dan 20 peratus bina insan bermaksud 80 peratus adalah pengisian pembelajaran bidang kemahiran manakala 20 peratus ilmu kemahiran insaniah.

“Di sini kami tekankan kemahiran insaniah atau pembinaan insan seperti keusahawanan, kepemimpinan, komunikasi dan agama agar dapat membina jati diri serta disiplin.

“Apabila pelajar tamat pengajian dan keluar ke dunia pekerjaan sebenar mereka bukan saja kaya kemahiran tapi mempunyai sikap baik seperti boleh berkomunikasi dan menepati masa,” katanya.

Katanya, 80 peratus pembelajaran teknikal itu pula terdiri daripada 30 peratus teori dan 70 peratus amali.

Malah Dalila berkata, pihaknya mengadakan memorandum persefahaman (MoU) kategori emas dengan syarikat Roberlo Sepanyol yang ditandatangani 30 September lalu dan disaksikan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

“Penyumbang terbesar yang diberikan adalah bahan guna habis bernilai RM35,000 setahun. Selain itu, mereka turut tawarkan latihan untuk tenaga pengajar dan seminar kepada pelajar.

“Bagi pihak kami pula, kami menjadi pusat latihan untuk kakitangan Roberlo Asia,” katanya.

PELAJAR turut didedahkan dengan program inkubator supaya dapat memanfaatkan kemahiran dalam dunia pekerjaan.
PELAJAR turut didedahkan dengan program inkubator supaya dapat memanfaatkan kemahiran dalam dunia pekerjaan.

Bagi penyelenggaraan kenderaan perdagangan pula, IKTBN Dusun Tua banyak kerjasama dengan Bas Rapid.

“Kami turut bekerjasama dengan Prasarana khususnya dengan Bas Rapid dan untuk jalinan itu kami sediakan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

“Buat masa ini, kami mempunyai 75 peserta daripada Bas Rapid bertujuan meningkatkan kemahiran kakitangan dari bahagian penyelenggaraan.

“Seramai 25 peserta menyertai program Sijil Kemahiran Malaysia tahap tiga sementara 50 peserta untuk Diploma Kemahiran Malaysia,” katanya.

Pada masa sama jalinan dengan industri bukan sekadar memanfaatkan pihak industri dan institusi kemahiran tapi turut membantu pelajar terutama dalam mendapatkan pengetahuan serta ilmu dari dunia sebenar.

“Kami bakal menghantar 15 pelajar IKTBN Dusun Tua sepenuh masa di Bas Rapid Cheras Selatan dan mereka akan belajar di sana selama sebulan untuk memberi nilai tambah kepada pelajar.

“Ini bagi membantu mereka belajar mengenai penggunaan sistem bagi selenggara kenderaan,” katanya.

Selain itu, peningkatan keperluan untuk jawatan kapten bas turut mendorong kerjasama IKTBN Dusun Tua dengan Bas Rapid merekrut kapten bas yang baru.

“Melalui program Bootcamp Bus Captain KBS - Prasarana, kami berjaya meraih 65 peserta untuk melatih kapten bas baru melalui peruntukan yang disediakan unit perancang ekonomi,” katanya.

Selain itu, tenaga pengajar turut diberi kursus peningkatan kemahiran di Bas Rapid untuk mempelajari pengetahuan dan kemahiran baru.

Begitu juga dengan jurusan penyelenggaraan kereta, IKTBN Dusun Tua turut menjalin kerjasama dengan pasukan Mobile Oil Service (MOS) bagi melaksanakan program inkubator.

JALINAN industri bukan sekadar membantu pihak institusi dan industri tapi turut meningkatkan kebolehpasaran kerja pelajar.
JALINAN industri bukan sekadar membantu pihak institusi dan industri tapi turut meningkatkan kebolehpasaran kerja pelajar.

“Ini adalah program inkubator untuk pelajar kita supaya diberi pendedahan dan kemahiran serta membuka mata mereka meneroka bidang keusahawanan.

MOS membekalkan minyak nano teknologi Jepun dan peralatan asas untuk membuat servis kenderaan dan pelajar semester dua dan tiga boleh jalankan bisnes.

“Kami sediakan tempat di kawasan bengkel IKTBN selain mereka boleh jalankan perniagaan sendiri di luar kampus sekiranya mendapat permintaan,” katanya.

Katanya, itu adalah salah satu inisiatif untuk melaksanakan pembelajaran berguna (authentic learning) kepada pelajar.

IKTBN Dusun Tua mempunyai tiga jabatan utama iaitu elektrik, mekanikal dan automotif.

Bagi bidang automitif, ia terbahagi kepada empat jurusan iaitu teknologi kenderaan perdagangan, teknologi penyelenggaraan kereta, teknologi penyelenggaraan jentera berat dan semburan cat.

Pengambilan pelajar sepenuh masa

Bagi pelajar sepenuh masa, IKTBN menawarkan dua pengambilan dalam setahun dan untuk pengambilan Januari 2018, permohonan sudah mula dibuka sehingga 8 November ini.

Permohonan boleh dibuat melalui ekampus.kbs.gov.my atau hubungi 019-525 2053 untuk maklumat lanjut.

Selain itu, IKTBN Dusun Tua turut menjalankan kursus jangka pendek dan maklumat lanjut boleh kunjungi IKTBN Dusun Tua yang terletak di KM 25, Dusun Tua Hulu Langat, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 1:45 PM