FOTO Instagram officialybr
FOTO Instagram officialybr
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan lebih RM1 juta sebagai usaha untuk meningkatkan modal insan negara.

Pengerusi YBR, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berkata, peruntukan itu termasuk RM100,000 bagi bantuan awal pengajian (BAP) bagi penuntut memulakan pengajian semester baharu.

Menurutnya, YBR dan Universiti Tenaga Nasional (United) juga sudah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi penajaan 9 penuntut bagi Program Pelajar Cemerlang Asasi dan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan ACCA dan sijil tahfiz.

"Jalinan kerjasama selama tiga tahun bermula dari tahun ini sehingga 2024 ini menyasarkan tiga penuntut setiap tahun bagi penajaan biasiswa pendidikan berjumlah RM114,934 serta BAP kepada 100 penuntut yang layak dari semester satu hingga tiga berjumlah RM1,000 seorang.

"Kerjasama ini membuka peluang khususnya kepada penuntut yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda selepas menamatkan program asasi," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

MoU ditandatangani bersama Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Naib Canselor Uniten Profesor Ir Dr Noor Azuan Abu Osman sambil disaksikan Megat Zulkarnain dan Pengerusi Uniten, Datuk Seri Hasan Arifin.

Beliau berkata, usaha antara YBR dan Uniten diharapkan menjadi motivasi dan pembakar semangat untuk berjaya di dalam pendidikan serta membangunkan generasi muda yang berkaliber.

Tambahnya, penajaan penuntut ini turut menyumbang kepada pembangunan modal insan negara mampan dan membantu masyarakat yang kurang berkemampuan melanjutkan pengajian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 4:33 PM