MUHAMMAD Nur Azam (kiri) dan Chu Wei Wei. FOTO Ihsan UPSI.
MUHAMMAD Nur Azam (kiri) dan Chu Wei Wei. FOTO Ihsan UPSI.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Seorang graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta sejarah apabila meraih empat anugerah sempena Majlis Istiadat Konvokesyen ke-22 yang bermula semalam.

Muhammad Nur Azam Ghazali, 25, yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dengan Kepujian meraih Anugerah Pelajaran DiRaja, Hadiah Buku Fakulti Pembangunan Manusia, Anugerah Buku Adni dan Anugerah Khas Adni.

Anugerah dikurniakan Canselor Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Berasal dari Kampung Permatang Pasir, Bachok, Muhammad Nur Azam yang kini sedang melanjutkan pengajian peringkat sarjana memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.94 dan mahu menjadi penuntut holistik serta mengutamakan akademik.

Anak keempat daripada sembilan beradik yang kehilangan ayah pada 2019 itu berkata, impiannya adalah mengubah nasib keluarga apabila melanjutkan pengajian di universiti serta kejayaan dikecapi hasil doa ibunya, Jaina Yusoff, 56, yang juga peniaga di Pasar Jelawat.

"Pernah terdetik dalam fikiran saya satu ketika dulu (untuk berjaya) dan saya percaya, melalui saluran pendidikan dapat mengubah nasib bukan saya sahaja, tetapi juga nasib keluarga.

"Sebagai anak keempat daripada sembilan adik-beradik, saya perlu lekas sedar, pendapatan ibu sebagai peniaga kecil-kecilan di pasar tidaklah sebesar mana lebih-lebih lagi selepas pemergian arwah ayah.

"Ketika belajar, saya juga sibuk menjalankan tanggungjawab sebagai Exco Perpaduan dan Integrasi Majlis Perwakilan Pelajar hingga pernah tertidur di dalam kelas kerana sangat penat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kini bergelar pensyarah di sebuah kolej di Kota Bharu, Muhammad Nur Azam turut aktif menyumbang kepada masyarakat menerusi aktiviti sukarelawan, kepimpinan, kerohanian dan sosio ekonomi yang dianjurkan di peringkat universiti, kebangsaan mahupun antarabangsa.

Sementara itu, anak pekerja warung kedai kopi, Chu Wei Wei, 25, pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sains) dengan Kepujian turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran DiRaja.

Graduan yang berasal dari Ayer Itam, Pulau Pinang itu teruja dan gembira selepas terpilih untuk menerima anugerah berkenaan dan berterima kasih kepada ibu bapa yang membesarkannya dengan penuh kasih sayang.

"Saya tetap diberikan didikan yang sempurna walaupun ayah hanya bekerja sebagai pembantu kedai warung kopi, manakala ibu membantu bapa dengan bekerja di gedung pakaian.

"Selain itu, pensyarah universiti dan rakan turut sama memberi galakan untuk saya berusaha mencapai kejayaan. Anugerah ini memberi saya motivasi untuk terus berusaha pada masa depan," kata anak tunggal dalam keluarga itu.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian dua graduan yang menerima Anugerah Pelajaran DiRaja sempena majlis istiadat konvokesyen itu.

"Mereka berdua boleh dijadikan contoh kepada mahasiswa untuk bangkit dan proaktif semasa pengajian sehingga meraih pelbagai hadiah dan anugerah sekali gus mengharumkan nama UPSI," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 2:52 PM