Yayasan Bank Rakyat (YBR) meraikan 146 pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Penampang. FOTO Ihsan YBR
Yayasan Bank Rakyat (YBR) meraikan 146 pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Penampang. FOTO Ihsan YBR
Oleh Redzuan Muharam


Penampang: Yayasan Bank Rakyat (YBR) meraikan 146 pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di sini, dengan menyampaikan insentif kepada mereka.

Objektif YBR adalah membantu meningkatkan akademik dan memotivasikan mereka untuk lebih berjaya pada masa akan datang.

Majlis penyampaian anugerah kepada pelajar disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi Datuk Ewon Benedick di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi YBR Datuk Philip Benedict Lasimbang, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Ketua Bahagian Operasi YBR Mohd Mukhti Abd Rahman dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Ewon berkata, sokongan berterusan yang diberikan oleh YBR dalam membantu anak Sabah amatlah dihargai, terutama dalam membantu golongan kurang bernasib baik dan yang memerlukan.

"Usaha sebegini dapat menarik agensi bukan berkeuntungan yang lain untuk turut sama dalam meningkatkan mutu pendidikan negara serta menyahut seruan kerajaan iaitu mewujudkan sistem pendidikan yang mampan," katanya pada kenyataan.

Dalam pada itu, Ewon turut mengumumkan empat sekolah di Penampang iaitu Sekolah Menengah St Michael, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang, SMK Limbanak dan Sekolah SMK Datuk Peter Mojuntin dipilih untuk menerima RM20,000 setiap sekolah melalui Program Pecutan SPM.

Menurut Ewon, inisiatif itu bertujuan membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar dari sekolah berkenaan bagi persiapan menduduki SPM.

"Tahniah kepada Sekolah Menengah St Michael kerana menjadi sekolah harian cemerlang di seluruh Sabah.

"Sebagai pengiktirafan, YBR memberikan sebuah 'smartboard' kepada pihak sekolah bagi sesi pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Sementara itu, Philip Benedict berkata, bantuan itu membabitkan kumpulan pelajar dalam kalangan asnaf dan keluarga B40 yang objektifnya adalah menyediakan bantuan kewangan kepada penerima yang layak sebagai permulaan semester atau peralatan pengajian diperlukan untuk meneruskan pengajian.

Menurut Philip, insentif yang diberikan kepada pelajar cemerlang sedikit sebanyak mampu memberikan peluang kepada mereka untuk menyambung pengajian ke institusi pilihan masing-masing.

Katanya, ia juga boleh menjadi pendorong untuk terus menunjukkan prestasi yang cemerlang di dalam pendidikan.

"Bagi meneruskan usaha menyediakan pendidikan berkualiti, usaha guru juga harus diberi penghargaan.

"Ini kerana, mereka sudah bertungkus lumus menyediakan modul pembelajaran bagi memberikan pendidikan yang terbaik kepada pelajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 4:43 PM