PELAJAR berpeluang melihat sendiri bagaimana proses menukar sisa makanan kepada baja kompos.
PELAJAR berpeluang melihat sendiri bagaimana proses menukar sisa makanan kepada baja kompos.
Oleh Suliati Asri

 

KERANCAKAN urbanisasi dan industrialisasi yang berlaku di bandaraya besar banyak memberi kesan kepada alam sekitar.

  Terkadang, tanpa disedari amalan gaya hidup seharian turut mempengaruhi kelestarian alam sekitar akibat sisa yang dihasilkan daripada pembelian barangan keperluan diri seperti pakaian, makanan, minuman dan buku serta alat tulis.

  Kegagalan atau ketidak prihatinan individu terhadap penghasilan sisa-sisa ini akan mendatangkan kesan yang negatif kepada kelestarian alam sekitar.

  Walaupun terdapat pelbagai teknologi yang digunakan untuk pelupusan sisa-sisa ini, namun perkara asas kepada pertambahan sisa-sisa ini perlu diatasi melalui kesedaran terhadap individu dan pengguna itu sendiri.

  Justeru, perkara ini seharusnya dititik beratkan seawal di rumah dan di peringkat sekolah, supaya setiap individu dapat menjalankan tanggungjawab menjaga kelestarian alam sekitar untuk kepentingan bersama sekarang dan di masa hadapan.

  Atas dasar itu, seramai 26 mahasiswa tahun tiga program Ijazah Kejuruteraan Kimia (Kepujian) di Pengajian Kejuruteraan Kimia, Kolej Kejuruteraan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menjalankan tanggungjawab social (CSR) melalui penganjuran program Green Revolution-Sustainability Camp, baru-baru ini.

  Green Revolution-Sustainability Camp adalah program yang diadakan bertujuan memberikan kesedaran melestarikan alam sekitar melalui pengamalan gaya hidup lestari terutamanya berkaitan dengan amalan 3R &1U iaitu Recycle, Reduce, Reuse, dan Upcycle.

  CSR ini adalah salah satu sumbangan mahasiswa kepada komuniti ke arah menjayakan Sustainable Development Goals menjelang 2030 seperti yang disarankan oleh The United Nations.

Dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18 Shah Alam, Selangor, program itu membabitkan seramai 192 pelajar tingkatan empat.

  Menariknya, program kali ini adalah kreativiti mahasiswa UiTM Shah Alam merekabentuk aktiviti yang lebih bersifat praktikal (hands-on) bertemakan kelestarian (Sustainability).

  Hal ini sangat membantu pelajar memahami teknik untuk Upcycle iaitu memberi nafas baru kepada sisa-sisa yang mereka hasilkan setiap hari.

  Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah Solar cooker challenge, Upcycling: Eco gardening bag & Tote bag Making dan Trash to treasure.

  Menerusi aktiviti yang dilaksanakan itu juga pelajar diberi pendedahan untuk melakukan sendiri aktiviti yang membabitkan sisa-sisa yang mereka hasilkan sendiri seperti sisa kertas, plastik, makanan dan fabrik atau pakaian.

  Mereka juga berpeluang untuk melalui proses menukar sisa kertas kepada kertas kitar semula, menghasilkan kotak pensil daripada sisa plastik, menukar sisa makanan kepada baja kompos dan memberi nafas baru kepada sisa fabrik.

KAMALI (dua kiri) merasmikan Green Revolution-Sustainability Camp.
KAMALI (dua kiri) merasmikan Green Revolution-Sustainability Camp.

MAHASISWA dan penasihat Siti Shawalliah bergambar kenangan selepas program berlangsung.
MAHASISWA dan penasihat Siti Shawalliah bergambar kenangan selepas program berlangsung.

  Program ini turut memberi pengalaman baru kepada peserta di mana mereka berpeluang menjahit beg mengikut kreativiti masing-masing.

  Penasihat Program Green Revolution, Prof Madya Ir Dr Siti Shawalliah Idris berkata, idea melaksanakan program ini tercetus hasil daripada perbincangan mahasiswa yang mengikuti kelas syarah dalam kursus Leadership & Professional Ethics for Engineers.

  "Menerusi kursus itu, mahasiswa perlu mencadangkan program CSR yang memerlukan berlakunya proses pemindahan ilmu dipelajari mahasiswa di universiti kepada masyarakat.

  "Saya amat teruja melihat idea Green Revolution-Sustainability Camp ini dapat direalisasikan dengan jayanya.

  "Sambutan yang diberikan pelajar juga sangat baik. Saya pasti kehadiran mahasiswa ini menyampaikan ilmu dan kepakaran kepada pelajar melalui pembabitan secara hands-on akan memberi kesan mendalam kepada mereka untuk memelihara alam sekitar,"katanya.

  Menariknya kata Dr Siti Shawalliah, subjek utama yang diketengahkan juga adalah sisa-sisa yang dihasilkan pelajar dari aktiviti harian mereka.

  Secara tidak langsung, menurutnya, program ini berjaya memberikan impak besar kepada pelajar dan membuka minda mereka untuk mencipta produk baru dengan menggunakan bahan terpakai mengikut kreativiti masing-masing.

  "Siapa sangka dalam sesi ini, pelajar lelaki mahupun perempuan sudah boleh menggunakan mesin jahit untuk menghasilkan 'eco gardening bag' dan tote bag.

  "Oleh itu, saya berharap ilmu yang disampaikan kepada pelajar dapat dimanfaatkan pada masa hadapan demi kelestarian alam sekitar.

  "Secara tidak langsung, ia dapat mengurangkan jejak karbon (carbon footprint) melalui pengurangan sisa yang dihantar

untuk dilupuskan ditapak pelupusan,"katanya.

  Program yang dirangka ini juga adalah sejajar dengan saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menggalakkan pembabitan pelajar pengajian tinggi dalam aktiviti kemasyarakatan melalui inisiatif Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM).

  Dr Siti Shawalliah berkata, hasrat KPT adalah supaya usaha menyelesaikan isu masyarakat setempat ke arah peningkatan sosio-ekonomi setempat dapat dilaksanakan melalui pembabitan pemindahan kepakaran warga univeristi dan industri.

  "Menerusi program ini, ia dapat meningkatkan kemahiran soft skill, keyakinan diri, bakat kepimpinan, dan semangat kerja berpasukan mahasiswa iaitu ciri-ciri (attributes) yang penting seorang graduan dalam bidang kejuruteraan alaf ini.  

  "Kepimpinan dan semangat kerja berpasukan tidak boleh hanya diperoleh dari pengajaran dalam kuliah, ia perlu dipelajari melalui pengalaman sendiri dan program ini membolehkan mereka mengalami sendiri apa yang dipelajari di bilik kuliah.

  "Paling utama, kita mahukan graduan yang dilahirkan dari UiTM mempunyai nilai-nilai murni terutamanya dalam menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat sekeliling," katanya.

PELAJAR tekun melaksanakan aktiviti yang dijalankan sepanjang program.
PELAJAR tekun melaksanakan aktiviti yang dijalankan sepanjang program.

PELAJAR tingkatan 4 SMK Seksyen 8 Shah Alam yang terbabit dengan program Green Revolution-Sustainability Camp.
PELAJAR tingkatan 4 SMK Seksyen 8 Shah Alam yang terbabit dengan program Green Revolution-Sustainability Camp.

  Program ini juga membabitkan pemindahan ilmu kepada masyarakat terutamanya pelajar, yang meliputi ceramah bertemakan kelestarian Zero to Hero disampaikan pensyarah dari Pengajian Kejuruteraan Kimia, Kolej Kejuruteraan UiTM, Dr Atikah Kadri.

  Menurut Dr Atikah, kesedaran dan kepentingan mengamalkan amalan kitar semula perlu diterapkan dalam minda murid dan masyarakat sejagat.

  "Sudah tiba masanya, masyarakat mula merubah minda dengan melihat sisa sebagai sumber yang dapat diguna semula dan diberi nafas baru (Upcycle) yang juga adalah langkah kelestarian alam sekitar.

  "Pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan pelajar untuk menukarkan bahan kitar semula kepada sesuatu yang berguna dengan menggunakan bahan terpakai seperti plastik, fabrik, kertas, dan sisa makanan," katanya.

  Sementara itu, Pengetua SMK Seksyen 18 Shah Alam, Kamali Murid berkata, program yang dianjurkan itu sangat menepati hasrat sekolah untuk meningkatkan ilmu pelajar melalui aktiviti di luar bilik darjah.

  "Bermula 2019, SMK Seksyen 18 adalah Sekolah Rintis STEM (Science, Technology, Engineering, and Mathematics) Kohort Pertama (1.0) bagi Selangor.

  "Sekolah ini juga adalah satu-satunya sekolah menengah yang terpilih dan mendapat bimbingan dari Institut Aminuddin Baki (IAB), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

  "Jadi, dengan aktiviti yang dijalankan ini adalah sejajar dengan usaha pihak sekolah dalam memperkayakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran melalui pendekatan sanis, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bukan sahaja dalam bidang kurikulum, malahan juga dalam bidang Hal Ehwal Murid dan Ko-kurikulum," katanya.

  Berkongsi pengalaman melaksanakan program CSR ini, peserta Muhammad Zaid Mohd Healmy, 22, berkata, pada mulanya dia merasakan program ini sedikit hambar kerana ketika mengadakan raptai.

  Namun, ketika hari kejadian, pelajar memberikan kerjasama yang sangat baik sekali gus membuatkan program ini sesuatu yang cukup mengujakan buakn saja buat dirinya tetapi juga ahli kumpulan yang lain.

  "Banyak pengajaran dan pengalaman baru buat saya terutama dalam menjayakan program ini. Kelancaran program ini adalah kerana semua ahli kumpulan melaksanakan tugas dan memainkan peranan masing-masing.

  "Bukan itu saja, saya juga berpeluang menjadi fasilitator dalam projek yang besar selain bertugas untuk melakukan demonstrasi cara-cara menghasilkan baja kompos daripada sisa makanan.

  "Sokongan ahli kumpulan dan advisor yang sentiasa membimbing kami dari awal sehingga program iini berjaya dilaksanakan adalah satu pengalaman yang cukup bermakna yang tidak dapat dilupakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 7:00 AM