PAMERAN dan jualan pakaian.
PAMERAN dan jualan pakaian.
PESERTA gembira menyiapkan 'vertical farming'
PESERTA gembira menyiapkan 'vertical farming'
PESERTA dan jemputan bergambar kenangan selepas majlis.
PESERTA dan jemputan bergambar kenangan selepas majlis.
Fazurawati Che Lah


AKADEMI Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) mengorak selangkah ke hadapan dalam menyahut seruan pengurusan tertinggi universiti itu untuk memperkasakan usaha melestarikan alam sekitar di keseluruhan kampus.

Sehubungan itu, program Kempen Surau Lestari dianjurkan oleh Kelab Imarah Eco-Friends (IEF), baru-baru ini.

Pengarah APIUM Profesor Datuk Dr Zulkifli Mohd Yusoff berkata, objektif penganjuran program antara lainnya adalah bagi menyemarakkan lagi usaha kelestarian alam sekitar termasuk pemantauan dan penjimatan penggunaan air, elektrik, penjagaan kebersihan serta keceriaan di surau APIUM.

Katanya surau APIUM adalah surau terbesar dan satu-satunya lokasi yang diberi kebenaran melaksanakan solat Jumaat di dalam kampus.

Katanya, surau ini mampu menempatkan hampir 1,000 jemaah pada satu-satu masa. Sebagai salah satu lokasi tumpuan di dalam kampus, pelaksanaan program sebegini akan menarik lebih ramai warga UM unuk menyertai dan memberi sokongan.

“Saya berharap program ini membuka mata banyak pihak mengenai kesungguhan UM dan APIUM dalam sama-sama menangani usaha melestarikan alam sekitar.

“Semoga usaha ini dapat diperkukuhkan secara kolaborasi dengan pelbagai pihak, sama ada institusi kerajaan, badan NGO, sektor swasta, aktivis alam sekitar dan sesiapa sahaja yang berminat dengan gerak kerja kelestarian ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua kelab IEF Siti Rohani Abd Rahman, 23, berkata, beberapa aktiviti dirancang bagi mencapai objektif program, antaranya forum bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan NGO berkaitan, pameran barangan terbuang yang ditambah baik untuk kegunaan semula (‘upcycling’), jualan amal dan pelancaran pusat kitar semula APIUM.

“Mahasiswa perlu cakna mengenai fungsi surau yang lebih luas definisinya dan tidak terhad sebagai rumah ibadat semata-mata,” katanya.

Katanya, program bertambah menarik dengan adanya sesi demonstrasi dan praktikal penanaman ‘vertical farming’ oleh sebuah NGO tempatan.

“Konsep ‘vertical farming’ adalah penanaman sayuran atau tumbuhan hijau di dalam bekas yang disusun menegak menggunakan sokongan dan boleh dilaksanakan di mana-mana kawasan yang menerima sinaran matahari.

“Konsep sebegini mempunyai kelebihan kerana mengurangkan penggunaan ruang dan membenarkan pengguna menanam pelbagai jenis sayuran dan tumbuhan di kawasan yang sama. Untuk program anjuran IEF ini, peserta memilih sayur sawi dan bayam untuk ditanam, selain bunga ros Jepun,” katanya.

Siti Rohani berharap pelaksanaan program itu akan meningkatkan tahap kesedaran, pengetahuan dan rasa tanggungjawab mahasiswa APIUM dalam melestarikan surau sebagai pusat untuk aktiviti seharian yang lebih luas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 12:42 PM