TELITI dan kemas jahitan yang dibuat.
TELITI dan kemas jahitan yang dibuat.
UNCANG cantik yang dihasilkan.
UNCANG cantik yang dihasilkan.
SEBAHAGIAN sisa fabrik yang siap dipotong.
SEBAHAGIAN sisa fabrik yang siap dipotong.
SUKARELAWAN gembira dapat bersama-sama menyiapkan uncang.
SUKARELAWAN gembira dapat bersama-sama menyiapkan uncang.
Fazurawati Che Lah


Dalam kerancakan perkembangan dunia fesyen yang turut mewarnai kehidupan mahasiswa, ramai terlepas pandang mengenai isu sisa fabrik yang dihasilkan.

Dikatakan berjuta-juta tan tekstil dibuang setiap tahun di seluruh dunia. Dianggarkan juga 10 juta tan tekstil dibuang setiap tahun di Eropah dan Amerika Syarikat sementara di China saja melebihi 20 juta tan.

Bagaimana hendak menguruskan sisa fabrik? Pasti ada yang mencadangkan usaha kitar semula. Benar, selain kertas, tin aluminium dan kaca, pakaian juga sebenarnya boleh dikitar semula.

Kitar semula antara usaha yang mendekatkan kita dengan alam semula jadi. Mungkin ramai tidak tahu proses penguraian tekstil yang berlaku secara semula jadi membebaskan metana iaitu gas rumah hijau yang berbahaya dan menjadi penyumbang utama pemanasan global.

Ada pewarna dan bahan kimia dalam tekstil serta komponen lain pakaian atau kasut yang boleh meresap ke dalam tanah hingga menyebabkan mencemarkan tanah dan saliran air.

Ini kerana kebanyakan tekstil diperbuat menggunakan bahan sintetik iaitu fabrik yang terhasil daripada serat tiruan campuran petrokimia.

Fabrik diperbuat daripada bahan sintetik seperti beg plastik mengambil masa ratusan tahun untuk terurai.

Langkah mengitar semula pakaian dan tekstil adalah cara paling bermanfaat bagi mengelakkan pencemaran serta pengeluaran intensif tenaga pakaian baru.

Selain itu, pakaian yang tidak boleh diguna boleh diolah semula menjadi aksesori fabrik lain.

Sejajar dengan usaha lestari itu, Fakulti Kejuruteraan Kimia (FKK) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam menganjurkan Upcycling Project FKK.

Projek itu berjaya menghasilkan lebih 1,000 uncang serba guna daripada kain perca jenis kapas yang dikumpul dan disumbangkan warga FKK.

Ia diketuai dan diinspirasikan tiga pensyarahnya iaitu Prof Madya Dr Noor Fitrah Abu Bakar, Dr Atikah Kadri dan Dr Siti Shawalliah Idris.

Dr Noor Fitrah berkata, apa yang cuba diterapkan dalam projek ini adalah ke arah pengurangan sisa pepejal terdiri daripada sisa fabrik.

“Menurut jurnal Waste Management bertajuk Assessment of carbon footprint emissions and environmental concerns of solid waste treatment and disposal techniques: case study of Malaysia, kira-kira lapan peratus sisa pepejal di negara ini terhasil daripada sisa buangan berunsurkan fabrik.

“Justeru, projek ini antara salah satu langkah mengurangkan sisa pepejal yang perlu diuruskan dan seterusnya mengurangkan jejak karbon (carbon footprint).

“Di samping itu, ia dapat menambah nilai sisa fabrik yang ada dan menjadi satu produk baru serta bermanfaat.

Katanya, projek yang berlangsung hampir tiga bulan itu bersesuaian dengan tema kelestarian dengan slogan Teknologi Inovatif Pemangkin Kelestarian Sejagat.

Menariknya, analogi penghasilan 1,000 uncang serba guna ini boleh digambarkan dengan pengurangan penggunaan fabrik sebanyak 112 meter iaitu bersamaan 28 pasang baju kurung dewasa atau bersamaan 56 helai kain batik sarung wanita.

“Dari segi kos pula, penjimatan dapat dilakukan khususnya keperluan bahan asas produk beg uncang ini menggunakan sisa fabrik berbanding fabrik baru.

“Itu antara sebahagian daripada tanggungjawab jurutera kimia dalam merealisasikan pengurangan sisa pepejal dan kelestarian alam sekitar.

“Ia menerusi langkah inovatif dan penjimatan dalam memanfaatkan serta menambah nilai sisa pepejal yang masih boleh digunakan.

“Diharapkan projek seumpama ini dapat diterapkan dalam gaya hidup masyarakat atau komuniti pelbagai bangsa di Malaysia yang bukan saja terhad kepada sisa fabrik (perca) semata-mata,” katanya.

Lebih membanggakan, projek itu mendapat kerjasama daripada 25 kakitangan termasuk Dekan FKK dan 17 penuntut FKK secara sukarela.

Bukan saja dijalankan untuk menghasilkan uncang serba guna malah ia sebahagian langkah merapatkan ukhuwah antara kakitangan dengan siswa pelajar UiTM.

Produk yang dihasilkan itu menjadi cenderahati kepada hampir 800 tetamu yang diraikan dalam Majlis Kemuncak Bulan Inovasi UiTM 2017 di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), baru-baru ini.

Uniknya, Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said turut berbesar hati menerima cenderahati berkenaan.

Karya seni perca itu membabitkan 46 cantuman kain perca songket sebagai bingkai dan 8,316 keping gambar yang disusun secara berpetak-petak di atas fabrik kapas mengikut padanan warna potret asal Dr Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 3:02 PM