TUAIAN dibeli pemborong. FOTO Ihsan Mat Jaman Mat Noor
TUAIAN dibeli pemborong. FOTO Ihsan Mat Jaman Mat Noor
Nurul Husna Mahmud

Situasi cuaca dalam negara yang ekstrem seperti musim tengkujuh melanda secara berterusan boleh menjejaskan produktiviti hasil petani tempatan.

Keadaan itu menjadi ancaman utama kepada tanaman dan mengakibatkan krisis sumber makanan negara apabila hasil pengeluaran dari pertanian tidak mencapai keperluan negara.

Penanaman tembikai umpamanya, apabila cuaca panas sangat diperlukan ketika proses 'kahwin' bunga yang mengambil tempoh dua minggu selepas 30 hari ditanam.

Hal itu dikongsi pengusaha atau penanam tembikai dari Sungai Siput Utara, Perak, Mat Jaman Mat Noor, 39, mengenai cabaran dihadapi kebanyakan penanam buah tropika terbabit.

Kata Mat Jaman, tembikai memerlukan cuaca panas bagi menghasilkan buah menerusi proses pendebungaan atau 'kahwin bunga' yang dilakukan secara manual.

"Tempoh penanaman tembikai adalah 70 hari sebelum dituai dengan matang dicapai 75 hingga 85 peratus sebelum sampai kepada pengguna.

"Dalam proses penanaman, fasa paling penting ialah ketika kerja 'kahwinkan' bunga tembikai kuning dan bunga tembikai merah bagi penghasilan buah.

"Di ladang, saya lakukan secara manual iaitu membabitkan 80 pekerja bagi membantu kelancaran proses terbabit.

"Proses itu perlu dilakukan secara manual berbanding menggunakan ejen seperti serangga kerana bagi menghasilkan buah yang seragam baik dari segi tempoh pengeluaran atau pun saiz buah.

"Ketika proses itu juga, cuaca panas diperlukan dan jika hujan pendebungaan tidak menjadi selain menjejaskan pengeluaran hasil buah musim itu," katanya.

MAT Jaman mahu meningkatkan pengeluaran tembikai bagi memenuhi keperluan pasaran. FOTO Ihsan Mat Jaman Mat Noor
MAT Jaman mahu meningkatkan pengeluaran tembikai bagi memenuhi keperluan pasaran. FOTO Ihsan Mat Jaman Mat Noor

Menjelaskan lagi , kerja mengahwinkan bunga tembikai biasanya dilakukan pagi seawal 7 pagi sehingga 11.30 pagi setiap hari selama dua minggu untuk pengeluaran bunga yang baru.

Tambah Mat Jaman, isu membabitkan cuaca antara risiko terpaksa dihadapi penanam tembikai terutama di pantai timur apabila terpaksa menanggung kerugian akibat ladang tidak dapat mengeluarkan buah.

"Isu bekalan tembikai antara hasil pertanian yang terjejas dan boleh dikatakan kritikal kerana banyak kebun atau ladang tidak berhasil mengeluarkan buah.

"Namun saya memiliki formula tertentu terutama dari segi pengurusan masa untuk penanaman bagi memastikan hasil dapat keluar secara konsisten.

"Tuaian baru-baru ini, saya berhasil mengeluarkan sekitar 400 tan buah dari dua ladang berkeluasan 24.3 hektar di Lenggong dan Sungai Siput Utara.

"Tahun ini penanaman tembikai berjaya dikeluarkan sebanyak dua kali dengan jumlah keseluruhan adalah sekitar 700 tan," katanya.

Kata Mat Jaman, buah dikeluarkan di ladangnya hanya mampu menampung permintaan domestik berbanding untuk pasaran luar ketika musim buah banyak.

"Saya mendapati pemborong merungut isu kekurangan tembikai untuk pasaran tempatan sejak musim durian habis.

"Pemborong yang saya berurusan juga mengeksport tembikai dari ladang ini ke Singapura tidak dapat berbuat demikian kerana isu bekalan tembikai berkurangan," katanya.

Dalam membantu meningkatkan pengeluaran hasil, Mat Jaman turut merancang untuk meluaskan lagi tanaman tembikai dengan menyasarkan 1,000 tan untuk hasil musim akan datang.

"Kekangan untuk musim penanaman tembikai kali ini juga selain terpaksa menanggung kenaikan input pertanian sehingga dua kali ganda, bekalan biji benih turut berkurangan.

"Saya terpaksa mencari serata Malaysia termasuk pergi ke Kelantan untuk mendapatkan biji benih. Malah terpaksa menunggu selama sebulan sebelum bekalan biji benih mencukupi.

"Untuk plot ladang sekarang, saya memerlukan sekurang-kurangnya 25 beg yang mengandungi setiap satunya 200 gram biji benih.

"Biji benih ini disemai selama 14 hari sebelum ditanam. Dalam tempoh itu juga kerja memulihkan tanah seperti menggunakan baja tahi ayam dilakukan untuk memastikan tanah sedia bagi kerja penanaman anak pokok tembikai yang baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 1:45 PM