ORANG ramai berkesempatan melawat ladang kelapa MARDI Hilir Perak.
ORANG ramai berkesempatan melawat ladang kelapa MARDI Hilir Perak.
MENGGUNAKAN beg plastik khas.
MENGGUNAKAN beg plastik khas.
MENELITI pokok betina matang sekitar tujuh atau lapan tahun.
MENELITI pokok betina matang sekitar tujuh atau lapan tahun.
SEDIA melakukan pendebungaan apabila campuran bunga jantan Tagnanan bersampur talkum.
SEDIA melakukan pendebungaan apabila campuran bunga jantan Tagnanan bersampur talkum.
BUNGA jantan dibuang ketika proses pendebungaan.
BUNGA jantan dibuang ketika proses pendebungaan.
Nurul Husna Mahmud


Penggunaan kelapa tempatan per kapita membabitkan kelapa segar dan muda saja sudah mencecah 36 biji setahun serta ia produk komoditi terpenting dalam negara selepas kelapa sawit.

Namun ketika ini bekalan kelapa dalam negara masih tidak mencukupi malah kerajaan perlu mengimport 150 juta biji kelapa tua untuk memenuhi keperluan tempatan.

Fenomena ini merujuk kepada situasi keluasan ladang bagi tanaman kelapa terus berkurangan iaitu pada 2010 keluasan ladang ada mencecah 105,659 hektar. Namun hanya tinggal 82,917 hektar direkodkan pada tahun lalu.

Selain itu, dilema lain ialah pokok kelapa sedia ada menggunakan baka kelapa tinggi malaya sudah berusia dan tidak lagi produktif menghasilkan buah. Ia dilihat tidak memberikan pulangan menguntungkan kepada petani tempatan hingga menyebabkan mereka berubah arah produk tanaman lain seperti sawit dan sayuran.

Baru-baru ini penulis berpeluang mengikuti lawatan ke ladang Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Hilir Perak ketika menyertai Program Road To Agro Tourism kelolaan Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) siri ke-5 edisi khas Bagan Datuk. Ia secara tidak langsung memberi perspektif baru berkenaan penyelidikan terhadap tanaman itu yang dilihat mampu membantu melonjakkan semula jumlah pengeluaran dan kualiti kelapa tempatan.

MARDI Hilir Perak berperanan sebagai Stesen Utama Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi Teknologi Bagi Tanaman Kelapa terbabit secara langsung dalam kerja penyelidikan biak baka, agronomi, fisiologi, pengawalan musuh dan penyakit, teknologi lepas tuai tanaman kelapa, menjalankan aktiviti pemindahan serta pengkomersialan teknologi tanaman kelapa dan industri berkaitan.

Menurut Pegawai Penyelidik Prinsipal Pusat Penyelidikan Hortikulktur, Stesen MARDI Hilir Perak Ahmad Ngalim, bagi membantu petani dan pengusaha sedia ada meningkatkan pengeluaran hasil buah mereka, beberapa inisiatif dilaksanakan pihaknya termasuk program peningkatan pengeluaran kelapa dan program pengeluaran benih kelapa varieti terpilih berhasil tinggi diperkenalkan.

“Dalam pelan pelaksanaan untuk pembangunan industri tanaman kelapa kami tidak lupa membabitkan pengusaha dan peladang tempatan setiap kali menjalankan program latihan membabitkan tanaman itu. Antara inisiatif kami lakukan termasuk menghasil dan memperkenalkan baka hibrid seperti kelapa matag menerusi pendebungaan berbantu antara kelapa tagnanan dan kelapa renek kuning (MYD ) atau kelapa renek merah (MRD).

“Kelapa matag menjadi pilihan kebanyakan penanam kerana kualiti selain mampu memberi hasil yang tinggi hingga mencecah angka 20,000 biji per hektar setahun dijangka dapat menjana buah kelapa mencukupi permintaan domestik andainya ia dilaksanakan secara menyeluruh membabitkan semua pengusaha tanaman kelapa tempatan,” katanya.

Kata Ahmad lagi, kaedah itu bukanlah asing kerana sudah ditemui sejak 15 tahun lalu dan diperkenalkan secara intensif sejak akhir-akhir ini kepada penanam sekitar bagi membantu mereka memperoleh hasil baik.

“Pekebun mahupun pengusaha akan diajar berkenaan teknik bermula dengan kerja penyediaan bunga betina iaitu mengenal pasti seludang matang pada pokok baka MYD dan MRD. Biasanya ia dilakukan setiap kitaran 22 hari iaitu tempoh biasa bagi pokok sedia berbunga dan kerja pemotongan seludang bermula termasuk membuang bunga jantan.

“Malah pada masa sama di bahagian pangkal seludang diletakkan racun kemudian bunga betina itu tadi akan disarungkan dengan beg plastik khas atau plastik polen sementara menunggu proses pendebungaan dijalankan menerusi penyediaan polen baka jantan iaitu tagnanan dari Filipina.

“Proses polen itu turut bercampur dengan serbuk khas atau talkum dan langkah menyemburkan debunga itu akan dilakukan secara berulang-ulang dari lima hingga ke tujuh hari sampailah stigma pokok bertukar warna hitam. Saranan kami buat mereka sering menjalankan proses sama pada pokok tanaman, pokok itu perlu dibaja selalu membolehkan hasil dikeluarkan lebih baik,” katanya.

Ketika ini ladang berkeluasan 400 ekar itu mempunyai enam baka tempatan antaranya kelapa tinggi Malaya (MT), kelapa renek kuning (MYD ), kelapa renek merah (MRD), kelapa renek hijau (MGD) dan kelapa renek perang (MBD) turut berhasil melaksanakan kajian untuk baka hibrid bagi program pengeluaran benih kelapa varieti terpilih berhasil tinggi.

Antaranya ialah Marena dan Careca antara enam varieti kelapa baru yang menunjukkan hasil tinggi dijangka mula diperkenalkan kepada penanam komersial bagi meningkatkan semula produktiviti tanaman kelapa.

Sebalik inovasi dan kecanggihan teknologi, kata Ahmad terdapat cabaran lain dihadapi pihaknya termasuk ancaman serangga perosak perlu diberi perhatian pihak terbabit dalam penanaman kelapa ini.

“Apabila menyentuh kepada cabaran tentu sekali kita melihat ancaman penyakit tanaman termasuk serangan serangga perosak. Masalah di sini sering berlaku membabitkan kumbang tanduk sebagai serangga premier yang datang makan.

“Sebenarnya berbanding serangga utama, lebih besar ialah ancaman serangga sekunder seperti kumbang merah palma atau kumbang jalur (Rhynchophorus Ferrigineus) bukan saja menumpang tetapi turut membiak dan makan titik pembesaran pokok kelapa.

“Biasanya boleh dilihat kesannya seperti pokok kelapa itu dipanah petir menerusi daun atau pelepah gugur selain pucuk batang hitam dan mereput. Asalnya kumbang ini ditemui dari pokok kurma dan kemudian merebak ke pokok sawit serta kini ia menyerang pokok kelapa.

“Saya pernah tengok masalah membabitkan serangan kumbang jalur ini berlaku pada pokok kelapa mawar di pejabat pertanian pantai timur seperti Kelantan atau Terengganu. Pokok terjejas hendaklah segera ditebang serta dimusnahkan termasuk dibakar untuk mengelak ia bergerak ke pokok lain,” katanya.

Selain melawat ladang, pengunjung turut berkesempatan menyaksikan demonstrasi mengupas kelapa dan produk lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 12:43 PM