Nurul Erma (kiri) dibantu adik iparnya Mohd Zul Khusairy menyusun tembikai di gerai mereka. FOTO Rozainah Zakaria.
Nurul Erma (kiri) dibantu adik iparnya Mohd Zul Khusairy menyusun tembikai di gerai mereka. FOTO Rozainah Zakaria.
Hanneeyzah Bariah Baharin


CUACA panas memberi rahmat buat peniaga tembikai, apabila buah itu bukan saja mendapat permintaan tinggi, malah isinya lebih berkualiti berbanding musim biasa.

Peniaga mendakwa cuaca panas menyebabkan tembikai menjadi lebih manis kerana kurang menyerap air.

Tinjauan mendapati bahu jalan sepanjang Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Permaisuri dipenuhi deretan peniaga menawarkan tembikai.

Nurul Erma Salwani Azmi, 25, berkata, jika orang ramai mengeluh akibat cuaca panas dengan suhu mencecah 39 darjah Celsius, peniaga sambilan sepertinya pula gembira kerana pendapatan hasil jualan tembikai meningkat.

“Tembikai buah boleh menyegarkan dan melegakan rasa haus, lebih enak kalau dijadikan jus.

“Pengeluaran tembikai juga meningkat menyebabkan ramai peniaga mengambil kesempatan musim panas ini untuk menjual buah ini dan ia memang laris.

“Sebenarnya saya adalah seorang suri rumah tapi mahu ambil kesempatan menjual tembikai kerana ia memang laris pada musim panas,” katanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Beris Tok Ku.

Dia memberitahu, keluarganya mengusahakan kebun tembikai seluas 0.8 hektar, namun belum sampai tempoh matang untuk dikutip.

Berikutan itu Nurul Erma, mendapatkan bekalan daripada pembekal dan membeli 1,700 kilogram tembikai yang habis dijual dalam tempoh dua ke tiga hari.

“Alhamdulillah, dalam sehari kami dapat merekod jualan antara RM500 hingga RM700. Malah untuk menarik pelanggan kami jual secara longgok iaitu RM15 untuk empat biji tembikai,” katanya.

Katanya dia dibantu adik ipar, Mohd Zul Khusairy Mohamed, 18, dan seorang lagi adik, Nurul Ain Nazirah, 18, untuk melayan pelanggan dan menyusun buah.

Sementara itu seorang buruh, Hidayat Abu Bakar, 22, berkata, dia mengambil peluang menjual tembikai di tepi jalan pada musim panas ini untuk menambah pendapatan.

“Memang seronok kerana saya mampu kumpul antara RM200 hingga RM300 sehari hasil jualan tembikai.

“Alhamdulillah, siapa sangka mulanya suka-suka saja nak jual tembikai, tetapi pendapatan diperoleh agak lumayan, dapatlah buat persediaan untuk Ramadan dan Aidilfitri nanti.

“Pendapatan sebagai buruh memang tidak seberapa, apabila lihat ramai orang jual tembikai, saya pun mahu cuba. Alhamdulillah, walaupun banyak persaingan, rezeki saya tetap lumayan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 4:42 PM