KETUA Penyelidik BMC, Hamdan Ibrahim (kanan) menunjukkan benih pokok sawit.
KETUA Penyelidik BMC, Hamdan Ibrahim (kanan) menunjukkan benih pokok sawit.
PEGAWAI Penyelidik, Sirrul Asrar Husain Fatimi memantau perkembangan anak pokok sawit.
PEGAWAI Penyelidik, Sirrul Asrar Husain Fatimi memantau perkembangan anak pokok sawit.
 PEKERJA nurseri menunjukkan biji benih sawit yang disemai.
PEKERJA nurseri menunjukkan biji benih sawit yang disemai.
Mohamad Hussin

Anak benih faktor terpenting dalam menentukan hasil sawit. Penanaman anak benih berkualiti dan mengamalkan pengurusan amalan agronomi yang baik berpotensi mencapai hasil buah tandan baik (BTB).

Kelapa sawit mempunyai jangka hayat produktif sehingga 25 tahun dan penanaman anak benih tidak berkualiti akan menyebabkan kerugian dalam jangka panjang.

Pengeluaran anak benih berkualiti ditentukan dua faktor utama iaitu penggunaan bahan tanaman dan pengurusan tapak semaian yang baik.

Sehubungan itu, Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) menerusi anak syarikatnya Felda Agricultural Services Sdn Bhd (FASSB) melancarkan benih sawit YangambiGT1.

Ia mampu mencegah serangan ganoderma yang menjadi antara ancaman utama kepada industri perladangan sawit. YangambiGT1 adalah biji benih sawit pertama dunia berdaya tahan daripada serangan ganoderma

Ganoderma adalah tumbuhan parasit jenis cendawan yang menyebabkan penyakit reput pangkal batang (RPB) pada pokok sawit.

Ketika ini, empat peratus atau 60,000 hektar daripada keseluruhan ladang sawit di Malaysia diserang ganoderma dengan anggaran kerugian industri sebanyak RM1.5 bilion.

Jumlah keluasan yang akan diserang dengan ganoderma dijangka meningkat kepada 450,000 hektar bersamaan anggaran kerugian RM11.25 bilion menjelang tahun 2020.

Ketua Kluster Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan Perkhidmatan Pertanian Kelompok FGV Syed Salim Syed Ali berkata, pihaknya mengambil masa hampir 10 tahun membangunkan benih baru YanggambiGT1.

Beliau berkata, ia menjadi penyelesaian terbaik untuk jangka panjang bagi menangani serangan ganoderma di ladang sawit.

“FGV menjangkakan penjualan sebanyak 30,000 pokok anak sawit YangambiGT1 pada tahun ini dan meningkat kepada 100,000 pokok pada tahun depan.

“Ketika ini, FGV menguasai 43 peratus pasaran biji benih sawit tempatan menerusi jenama unggul Yangambi ML161,” katanya yang ditemui di Beneficial Microbes Centre (BMC) di Pusat Inovasi FGV, Bandar Enstek, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Syed Salim berkata, buat masa ini, FGV satu-satunya pengeluar biji benih kalis ganoderma di Malaysia iaitu YangambiGT1.

“Penemuan penghasilan bahan tanaman berdaya tahan ini secara tidak langsung akan menguatkan keyakinan pelanggan terhadap jenama Felda Yangambi,” katanya.

Beliau berkata, selain itu nurseri kajian kulat ganoderma di FASSB, Felda Ulu Belitong, Kluang, Johor, ditubuhkan pada tahun 2006 membabitkan keluasan asal 1.76 hektar.

“Peningkatan jumlah kajian mendorong keluasan nurseri ganoderma ditambah sehingga mencapai 8.4 hektar pada tahun 2011.

“Kajian ganoderma di nurseri dijalankan Unit Kawalan Tanaman, Unit Biak Baka dan Unit Agronomi FASSB. Kapasiti pokok sawit yang mampu disaring dalam setahun sekitar 45,000 pokok.

“Matlamat utama penubuhan nurseri ini untuk menjalankan kajian berkaitan kulat ganoderma. Selain saringan kulat itu, saringan potensi mikrob lain turut dijalankan seperti keberkesanan kulat mikoriza sebagai penggalak akar dan keberkesanan bakteria pengikat nitrogen untuk pertumbuhan pokok sawit,” katanya.

Menurutnya, setiap kajian yang dijalankan mempunyai objektif yang tersendiri membabitkan pelbagai peringkat umur anak sawit, kaedah dan teknik berbeza, kaedah pembajaan dan penilaian.

“Saringan kulat ganoderma di nurseri ini mempunyai jangka masa saringan yang berbeza, namun saringan kebiasaannya mengambil masa sekitar lapan hingga 12 bulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 12:12 PM