MINYAK sawit.
MINYAK sawit.
Mohamad Hussin

Malaysia akan mencalonkan pakar tempatan untuk menyertai panel Perubahan Kegunaan Tanah Secara Tidak Langsung (ILUC) Suruhanjaya Eropah yang boleh memberi impak kepada penggunaan minyak sawit dalam campuran bio bahan api di bawah Perintah Tenaga Boleh Baru (RED II) Eropah.

Pada dasarnya, ILUC secara amnya tidak disokong pihak industri dan pakar akademik disebabkan ia berdasarkan prinsip belum dibuktikan.

Sememangnya, asas bagi definisi konsep ILUC belum disahkan secara universal, termasuk dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU).

Malaysia bimbang kerana ia mungkin akan menentukan penggunaan minyak sawit masa depan sebagai sebahagian daripada mandat RED II EU.

Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif Suruhanjaya Eropah yang membenarkan perundingan diadakan antara pengeluar minyak sawit termasuk pakar minyak sawit Malaysia berkenaan prinsip saintifik utama di bawah ILUC.

Beliau berkata, sangat penting bagi panel pakar Suruhanjaya Eropah berkenaan ILUC ini untuk melihat secara dekat amalan penanaman dan pemprosesan minyak sawit Malaysia.

“Sekurang-kurangnya mereka dapat menghargai kerumitan yang kita lalui dalam menghasilkan minyak sawit mampan. Proses rundingan ini sangat penting kerana tidak mahu minyak sawit kita didiskriminasikan.

“Panel pakar Suruhanjaya Eropah akan melawat Malaysia pada akhir bulan ini untuk mengadakan perbincangan dengan pakar kita berkenaan isu ini. Pakar kita juga akan menyertai panel berkenaan,” katanya selepas mengetuai Misi Minyak Sawit ke Switzerland, Sepanyol dan Belgium, baru-baru ini.

Rombongan membabitkan pegawai kanan Kementerian Industri Utama (MPI), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Dalam lawatan itu, rombongan mengadakan perjumpaan dengan Pesuruhjaya Eropah untuk Alam Sekitar, Hal Ehwal Maritim dan Perikanan Karmenu Vella; Ketua Pengarah Alam Sekitar, Pendidikan, Pengangkutan dan Tenaga Majlis EU Dr Jaroslaw Pietras dan Pengarah Urusan (Asia Pasifik) European External Action Services Gunnar Wiegand.

MALAYSIA antara negara pengeksport sawit.
MALAYSIA antara negara pengeksport sawit.

Kok berkata, langkah ini dianggap positif memandangkan terdapat kebimbangan bahawa Suruhanjaya Eropah akan menggunakan kriteria ILUC untuk menyekat secara berperingkat minyak sawit dalam mandat Perintah RED II Suruhanjaya Eropah.

“Malaysia bersedia untuk mendengar dan berunding secara aktif dalam sebarang perbahasan berkenaan ILUC. Bagaimanapun, kita menegaskan bahawa ILUC tidak sepatutnya menindas minyak sawit atau minyak sayuran lain.

“Sekiranya kriteria yang mentakrifkan ILUC tidak berlandaskan prinsip-prinsip saintifik yang diterima pakai, Malaysia akan menggunakan pelbagai forum rundingan dan perdagangan antarabangsa untuk mendapatkan hasil saksama bagi eksport minyak sawit kita,” katanya.

Sementara itu, dalam pertemuan di Madrid, Sepanyol, Kok bertemu dengan Menteri Perdagangan Indonesia Enggartiasto Lukita untuk membincangkan cabaran bersama yang dihadapi minyak sawit di Eropah.

Menurutnya, kedua-dua negara berpendapat tindakan termasuk label ‘Tiada Minyak Sawit’ pada produk adalah satu bentuk diskriminasi.

“Oleh itu, Malaysia dan Indonesia sebagai negara pengeluar yang bergantung kepada eksport minyak sawit untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang sihat, bersetuju secara prinsip untuk bekerjasama dalam mempertahankan kepentingan minyak sawit dan mengatasi tanggapan negatif terhadap komoditi eksport ini.

“Sebagai pengasas Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), kami berhasrat untuk mengukuhkan keanggotaan CPOPC dengan mendaftar negara pengeluar minyak sawit lain sebagai ahli dan menggunakan majlis antarabangsa ini untuk menangani cabaran yang dihadapi di Eropah,” katanya.

Kok menegaskan bahawa kerajaan Malaysia akan terus berdialog dengan pelbagai institusi di Eropah untuk menangani isu penindasan minyak sawit.

KOK menyampaikan cenderahati kepada Karmenu.
KOK menyampaikan cenderahati kepada Karmenu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 11:32 AM