JERNIH kualiti air dirawat menerusi teknologi sisa sifar. FOTO: Salhani Ibrahim
JERNIH kualiti air dirawat menerusi teknologi sisa sifar. FOTO: Salhani Ibrahim
Nurul Husna Mahmud


REPUTASI Malaysia selaku pengeluar dan pengeksport kedua terbesar minyak kelapa sawit selepas Indonesia dilihat pencapaian baik negara dalam sektor ekonomi terutama peladangan serta penghasilan produk keperluan harian yang penting kepada dunia.

Namun kebelakangan ini, pemain industri minyak sawit negara berdepan kritikan apabila aktiviti industri itu yang selama ini dilihat bahan asas penting bagi pengguna tidak lestari, apabila dikaitkan dengan isu alam sekitar.

Selain aktiviti pembukaan ladang secara besar-besaran, pengurusan sisa pemprosesan minyak sawit antara faktor kelapa sawit dikritik ia bukan industri lestari.

Umumnya dalam pemprosesan minyak sawit, perkara yang tidak dapat dielak ialah penghasilan sisa industri itu dalam pelbagai bentuk dan elemen meliputi pepejal, cecair dan gas. Contoh paling ketara ialah buah tandan kosong dan efluen kilang sawit atau POME.

POME merujuk pada cecair likat keperang-perangan yang mengandungi jumlah pepejal tinggi, minyak dan gris. Dalam pengurusan POME, situasi diburukkan lagi dengan pelepasan gas metana dan karbon tinggi apabila penggunaan kaedah konvensional sedia dipakai pemain industri sebelum ini masih dikekalkan.

AIR terawat dikitar semula untuk kegunaan loji rintis.
AIR terawat dikitar semula untuk kegunaan loji rintis.

Bayangkan dalam keadaan negara ketika ini bergelut dengan beberapa isu alam sekitar seperti pengurusan sisa pepejal baik sampah domestik, plastik, mahupun jerebu, keadaan ini boleh diburukkan lagi dengan pengabaian pihak industri dalam menangani sisa industri di kilang mereka.

Melihat pada isu berkenaan, sekumpulan penyelidik iaitu gabungan pelbagai tenaga pakar Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi, Selangor bersama Yayasan Sime Darby menyasarkan teknologi sifar sisa sawit sebagai pendekatan terbaik menangani kemelut industri berkenaan.

Ketika ini, prototaip atau projek Loji Rintis Teknologi Sisa Sifar dibangunkan di Kilang Kelapa Sawit Tennamaram Batang Berjuntai sebagai komitmen bawah Kerusi Teknologi Sisa Nukleus Universiti Kebangsaan Malaysia-Yayasan Sime Darby (UKM-YSD).

Menerusi kerjasama itu, ahli akademi yang arif dengan teknologi hijau bersama pelopor industri sawit negara, Sime Darby dapat merealisasikan model kilang kelapa sawit yang lebih mesra alam selepas 10 tahun penyelidikan.

Menurut Pengerusi Skim UKM-YSD, Profesor Dr Mohd Sobri Takriff, yang juga ketua penyelidik, pihaknya berbangga dapat berkongsi hasil penyelidikan yang dilihat antara model terbaik dalam urus tadbir sisa pemprosesan minyak kelapa sawit dengan kaedah sisa sifar.

Katanya, meskipun ketika ini kapasiti model atau loji rintis hanya dibina bagi tujuan kajian, penemuan terpenting iaitu setiap elemen daripada sisa pemprosesan sawit mempunyai potensi untuk kegunaan lain seperti dalam pertanian dan sebagai sumber tenaga baharu.

“Orang awam boleh memahami mengenai teknologi sisa sifar ialah tiada sebarang sisa daripada pemprosesan minyak sawit seperti efluen akan dilepaskan ke udara, tanah dan air.

“Ini bermaksud, semua sisa ini akan dikitar semula untuk menjadi produk yang dapat dimanfaatkan pihak lain.

“Contoh ialah isi rong atau hampas sawit digunakan dalam sektor pertanian sebagai baja organik dan lain-lain produk.

SISA pepejal diproses untuk kegunaan lain iaitu baja.
SISA pepejal diproses untuk kegunaan lain iaitu baja.

“Diharap kajian ini menjadi panduan bagi kilang-kilang kelapa sawit sedia ada supaya membuat perubahan ke arah teknologi hijau, neutral dan sisa sifar.

“Impaknya, inovasi ini dapat mempertingkatkan hasil minyak sawit negara dan memastikan produktiviti dan kemapanan masa depan industri terbabit,” katanya ketika sesi melawat loji rintis berkenaan.

Program penyelidikan itu juga mengetengahkan pelbagai strategi dalam menghapuskan kemungkinan pencemaran yang berpunca daripada kilang minyak sawit termasuk penggunaan teknologi hijau, kelebihan lain sisa, menggunakan semula dan mengitar semula produk sampingan pepejal serta cecair sisa sawit.

Tujuh strategi digunakan dalam penyelesaian masalah pencemaran telah dikenal pasti membabitkan pengeluaran biohidrogen dan biogas, penukaran biomas, pembentukan biometana ke hidrogen, pembersihan biohidrogen, penyimpanan dan penjanaan kuasa, mengubah biomas sawit ke baja organik, menangkap karbon dan air kitar semula.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor UKM (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Datuk Dr Abdul Wahab Mohammad berkata, dengan teknologi ini, pihaknya berharap dapat mengubah cara industri menangani efluen kilang minyak sawit (POME) dengan lebih cekap dan mampan.

Efluen termasuk kernel kelapa sawit dan serat mesokarp daripada buah, tandan kosong, gas karbon dan hidrogen serta sisa cecair.

Kilang atau pihak industri biasanya menguruskan POME dengan cara dibuang di kolam pelupusan. Keadaan ini biasanya memberi kesan iaitu bahan kimia dalam cecair itu mencemar sumber air yang ada dan meresap ke dalam tanah. Proses penguraian juga berlaku yang mana tindak balas bahan itu akan melepaskan gas metana atau karbon dioksida ke atmosfera.

“Dengan teknologi sisa-sisa ini, sisa seperti biomas sawit diproses menjadi baja organik, makanan haiwan dan banyak lagi. Hidrogen dikumpul dan disalurkan ke loji tenaga, manakala karbon dioksida tidak lagi dilepaskan ke udara.

“Sebaliknya, ia diperangkap dan diserap oleh penapis alga. Kumbahan dihasilkan kilang minyak kelapa sawit akan diproses menjadi air bersih untuk diguna semula oleh loji itu sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 5:20 AM