SEBAHAGIAN produk keluaran jenama Peladang oleh NAFAS.
SEBAHAGIAN produk keluaran jenama Peladang oleh NAFAS.
PRODUK segera dan pes.
PRODUK segera dan pes.
 AZHAR menunjukkan produk jenama Peladang.
AZHAR menunjukkan produk jenama Peladang.
Mohamad Hussin

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memberi tumpuan bagi persediaan juadah berbuka puasa sempena Ramadan membabitkan rangkaian produk jenama Peladang yang menepati selera anda.

Penolong Pengurus Bahagian Pemasaran NAFAS Azhar As’ad berkata, jenama Peladang menyasarkan jualan bagi produk berasaskan tin jenama peladang dan pes serba guna yang pastinya memudahkan penyediaan berbuka dengan mudah dan pantas.

“Pelbagai jenis perencah makanan bagi menambah keenakan juadah makanan seperti pes segera paprik, sambal, lemak cili api, sup berempah, tomyam, rendang, percik dan makanan dalam tin yang pastinya dapat menyediakan juadah dalam tempoh singkat.

“Contohnya, hidangan berbuka puasa dan juga sesuai untuk bersahur iaitu sandwic ikan keli, spageti ala Peladang yang hanya mengambil masa kurang daripada 15 minit untuk penyediaannya,” katanya yang ditemui di Ibu Pejabat NAFAS di Kota Damansara, Selangor, baru-baru ini.

Katanya, variasi makanan dalam tin, antaranya kari ayam, kari daging, kari ikan keli dan sambal ikan keli pastinya sesuai bagi mereka yang kesuntukan masa untuk menyediakan juadah lazat bagi berbuka puasa.

“Ia kerana produk ini boleh dimakan begitu saja. Untuk menambah selera hidangan, ia boleh dipanaskan terlebih dulu.

“Produk makanan rangkaian Peladang pastinya ringkas dan memudahkan isi rumah yang bekerja serta cita rasa Melayu semestinya menaikkan selera Ramadan ini,” katanya.

Azhar berkata, kini terdapat hampir 200 produk jenama Peladang yang berada di pasaran tempatan.

“NAFAS diberi hak tunggal untuk Cap Dagangan Jenama Peladang oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas penggunaan jenama berkenaan.

“Tumpuan kepada pengukuhan kualiti dan pembungkusan sangat penting supaya semua produk boleh dipasarkan dan selamat dimakan.

“Selain itu, setiap produk yang dikeluarkan dan dipasarkan di bawah jenama Peladang dijamin dari segi kebersihan dan halal selaras slogan Jenama Yang Diyakini,” katanya.

Menurutnya, objektifnya adalah bagi mewujudkan rangkaian pemasaran bagi produk keluaran Pertubuhan Peladang (PP) dan menetapkan standard produk dibawah satu jenama yang sama.

“Produk jenama Peladang kini memasuki pasaran hipermarket Mydin dan pasar raya seperti Binwaharps, Agrobazaar Rakyat dan kedai di bawah PP.

“Kami kini giat memasuki pasaran di Sarawak dan Sabah serta turut menjadi satu jenama yang dicari penduduk negeri berkenaan.

“Tahun ini, NAFAS menyasarkan pasaran pasar raya besar lain seperti Giant, Hero, Aeon dan pasaran francais seperti D-Mart serta koperasi di dalam negara,” katanya.

Azhar berkata, jenama Peladang tahun ini akan menambah bilangan produk dengan menumpukan kepada produk dan barangan keperluan harian seperti tepung, produk berasaskan mi dan minyak masak.

“Produk di bawah jenama Peladang antara yang mematuhi standard piawaian, akreditasi dan pensijilan berdasarkan standard dikehendaki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 12:04 PM