PLATFORM e-dagang www.makanbites.co.uk menawarkan pelbagai jenis produk Malaysia.
PLATFORM e-dagang www.makanbites.co.uk menawarkan pelbagai jenis produk Malaysia.

Makan Bites, pengedar makanan bebas yang berpangkalan di United Kingdom (UK) milik Malaysia, memanfaatkan minat terhadap masakan Malaysia dengan beroperasi di UK dan Eropah serta syarikat mahu membantu pihak lain menyertainya.

Semasa kemuncak pandemik Covid-19, platform e-dagang www.makanbites.co.uk membantu peminat makanan Malaysia terus menikmati juadah kegemaran mereka di rumah mereka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Cheryl Ellron-Boulter berkata, Makan Bites memulakan operasi pada November 2020 dengan 15 produk Malaysia seperti jenama Maznah dan S2.

Platform itu kini secara eksklusif menawarkan 99 peratus produk Malaysia termasuk pes laksa, pes sambal cili nasi lemak, snek sotong, gula-gula kacang serta pelbagai jenis minuman seperti Milo, Aik Cheong Teh Tarik dan Aik Cheong Kopi 2 in 1.

Beliau berkata, produk makanan termasuk pes masakan dan bahan lain bukan saja disasar kepada rakyat Malaysia menetap di luar negara tetapi mempunyai potensi besar menjadi satu lagi pilihan Asia yang menjadi kegemaran di pasaran Eropah.

"Semasa kami mula bermula, hanya rakyat Malaysia di UK dan Eropah membeli daripada kami. Kini, dengan lebih banyak kesedaran, lebih ramai rakyat Britain (penduduk tempatan) berani mencuba masakan Malaysia," katanya.

Produk Maznah bebas gluten dan sesuai untuk mereka hanya memakan sayuran, manakala produk S2 100 peratus bahan semula jadi, satu bahan serta bebas gluten dan mesra vegan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 7:00 AM