Barisan pengurusan dan kakitangan Sardin Viral
Barisan pengurusan dan kakitangan Sardin Viral

Kuala Lumpur: Permintaan Sardin Viral pek kantung atau "pouches" yang pertama seumpamanya di Malaysia diusahakan D'Era Pouch Industries Sdn Bhd mendadak naik terutama sejak awal bulan Ramadan lalu.

Trend pembelian pek sardin itu termasuk pek kantung kari ayam itu didorong oleh sifat produk dalam bungkusan yang jangka hayat bertahan selama dua tahun dan menyenangkan.

Hanya 'koyak dan makan', Sardin Viral dan kari ayam sedia dimakan terus atau boleh dipanaskan terlebih dahulu sama ada ketika berbuka puasa atau bersahur.

Eksekutif Jualannya, Lokman Hakim Mohamad Rosli berkata menjadi perintis makanan seperti sardin dan makanan berkuah yang menggunakan pek kantung memberi alternatif dan suasana berbeza selain mesra pengguna.

"Pek kantung ini yang menggunakan teknik baharu dalam penyediaan produk iaitu teknologi retort atau pensterilan supaya produk dihasilkan mampu bertahan sehingga dua tahun tanpa menjejaskan struktur dan rasanya.

"Teknologi retort mungkin baharu di negara, tetapi ia sudah lama digunakan tentera Amerika Syarikat dalam medan pertempuran sejak 1950-an.

"Berbanding penggunaan tin yang cenderung membuatkan ikan sardin itu masih berbau hanyir dan mempunyai aroma tin, pek kantung pula melawan arus dan sangat praktikal untuk mereka yang mahu menjimatkan masa, berkerjaya atau golongan pelajar. Tentunya ia dijamin halal," katanya.

Selain sardin viral dan kari ayam yang menjadi produk laku keras, dua lagi rangkaian makanan iaitu Baked Beans dan Tomato Puree turut dihasilkan.

Setakat ini 8000 karton sardin dan 2000 karton kari ayam dihasilkan bagi memenuhi permintaan semasa.

"Kita sasarkan jumlah karton itu boleh bertambah dari semasa ke semasa. Sardin viral sendiri boleh dihasilkan lebih 100,500 karton hingga hujung tahun ini. Manakala kari ayam boleh mencecah 7,000 karton.

"Kami sasarkan hasil jualan tahun ini dengan mempertaruhkan rangkaian produk yang ada boleh mencecah RM12.6 juta," katanya.

Eksekutif Jualan Sardin Viral, Lokman Hakim Mohamad Rosli
Eksekutif Jualan Sardin Viral, Lokman Hakim Mohamad Rosli

Produk jenama ini mengambil masa hampir setahun untuk melalui proses penyelidikan dan pembangunan (RnD) iaitu pada 2013.

"Kita mempunyai lebih 12 orang yang mengawal pusat pengedaran di sebelah Utara seperti Taiping dan Juru selain Kuala Terengganu. Manakala ejen pula seramai 53 orang di serata negeri.

"Selain itu kita juga menjual produk di 133 pasar raya besar dan 527 pasar raya di seluruh negara. Kita juga mempunyai 42 billboard sebagai promosi di laluan lebuh raya terpilih," katanya.

Penggunaan golongan artis dan pempengaruh juga menjadi nilai tambah membuatkan jenama ini terutama sardin viral menjadi sohor kini dan meledak.

"Cara memasak sambil bercerita dan menyediakan resipi istimewa membabitkan golongan artis antaranya seperti Sheila Rusly, Izreen Azminda, Sharifah Shahira dan juga isteri Nabil Ahmad iaitu Zira Ayub turut mengundang tarikan untuk ramai mendapatkan produk kami

."Produk ini 100 peratus milik bumiputera. Boleh dibeli di pasaraya terkemuka terpilih atau layari facebook @sardinviral dan laman sesawang sardinviral.com.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 10:08 AM