CHE Abdullah (dua dari kiri) bersama Ketua Pengarah LPP, Datuk Azulita Salim (dua dari kanan) pada Program Pelancaran Produk Peladang ke Ekspo 2020 Dubai di Menara LPP, semalam. Turut serta Pengurus Besar Nafas, Abu Sujak Sahuji (kanan).
CHE Abdullah (dua dari kiri) bersama Ketua Pengarah LPP, Datuk Azulita Salim (dua dari kanan) pada Program Pelancaran Produk Peladang ke Ekspo 2020 Dubai di Menara LPP, semalam. Turut serta Pengurus Besar Nafas, Abu Sujak Sahuji (kanan).

LEMBAGA Pertubuhan Peladang (LPP) menghantar 73 Unit Simpanan Stok (SKU) produk berasaskan industri asas tani untuk dipromosikan dalam minggu Pertanian Mampan sempena Ekspo 2020 Dubai mulai 20 hingga 26 Februari depan.

Pengerusinya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, LPP dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) membuat penghantaran produk berkenaan bagi memperkenalkan produk industri asas tani yang berkualiti di bawah jenama Peladang ke peringkat antarabangsa.

"Antara produk yang bakal dipromosikan seperti sate sejuk beku, madu kelulut, pes masakan, makanan sedia untuk dimakan, snek, jus minuman dan produk berasaskan sarang burung walet seperti coffee bird nest," katanya berucap pada Majlis Pelancaran Produk Peladang ke Ekspo 2020 Dubai, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Che Abdullah berkata, penyertaan agensi itu dalam ekspo berkenaan akan menjadi pemacu kepada penerokaan peluang perniagaan di luar negara serta mencipta usaha sama perniagaan yang berpontesi melalui jenama Peladang.

"Inisiatif ini diharapkan memberikan pulangan dan impak yang positif kepada LPP dan usahawan peladang yang berpontesi," katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Kumpulan Pengurusan Perniagaan Nafas, Baharozaman Mohid berkata, pihaknya akan menjalinkan usaha sama dengan penggiat industri di negara-negara Timur Tengah dalam usaha memasarkan produk berasaskan ayam yang sedia dimasak dan boleh dimakan terus di ekspo berkenaan.

"Walaupun cita rasa masyarakat di Timur Tengah itu agak berbeza namun, saya yakin dengan usaha sama ini (kami) dapat menyesuaikan (produk) dengan permintaan di sana dan kami menyasarkan produk ini akan menembusi pasaran di sana pada masa akan datang," katanya dalam sidang media khas di sini.

Ketua Pengarah LPP Datuk Azulita Salim dalam media sama pula berkata, pihaknya bersama Nafas akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Lulu International Hypermarket dan berharap melalui MoU itu, ia dapat memperluaskan lagi potensi jenama Peladang ke peringkat seterusnya.

"Semoga kita dapat membantu produk jenama tempatan ini dalam menembusi pasaran antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 6:58 AM