DOA  senjata orang mukmin dan yakinlah   doa   buat saudara   kita di bumi Palestin diterima Allah.
DOA senjata orang mukmin dan yakinlah doa buat saudara kita di bumi Palestin diterima Allah.
Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Isu Palestin adalah perkara kita bersama seluruh umat Nabi Muhammad SAW. Ia bukan sekadar suatu isu yang sekadar menyentuh soal hidup mati kelangsungan kewujudan umat dan bangsa Palestin sahaja, akan tetapi juga melibatkan persoalan agama.

 Sesungguhnya, kita dan saudara-saudara kita di Palestin itu tidak mampu dibataskan oleh sempadan geografi kerana kebersamaan hati kesepaduan jiwa antara kita di Malaysia dan mereka di sana tetap terjalin erat. Di atas kertas memang benar peta dunia menjarakkan kita dengan mereka, tetapi 'geografi tauhid' tetap membersamakan hati kita dengan mereka.

Demikianlah kuatnya ikatan persaudaraan sesama umat Islam yang tidak akan mampu dipisahkan walaupun hidup di negara yang berjauhan. Kini, umat palestin yang seakidah dan seiman dengan kita sedang dilanyak habis-habisan tanpa ada rasa kemanusiaan. Siang malam, pagi petang saudara-saudara kita di sana sedang berhadapan dengan ancaman musuh Rejim zionais laknatullah.

 Alhamdulillah syukur, kerana seluruh pendukung keamanan dan kemanusiaan di setiap penjuru dunia telah dan sedang bangkit untuk meluahkan rasa benci kepada keganasan yang dilakukan ke atas rakyat Palestin. Apa kurangnya dengan situasi semasa di negara kita. Satu demi satu acara yang diprogramkan khusus untuk menyatakan sokongan kepada Palestin.

 Lebih daripada itu, pihak kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) sendiri menganjurkan program yang dinamakan Solidariti Bersama Palestin. Maka seluruh sekolah di tanah air masing-masing tidak mahu ketinggalan dalam menggerakkan usaha menjayakan program murni itu.

Murni dan baik dalam menerbitkan rasa kebersamaan dengan mereka yang ditindas dengan kejam dan zalim merupakan satu pendidikan terpuji ke arah membina karakter jiwa generasi yang sentiasa menjunjung erti kehidupan yang cintakan keamanan dan mencintai semangat kemanusiaan sejagat. Ia tidak sepatutnya dilihat dalam persepktif negatif.

Demikian juga dengan aktiviti yang sedang rancak digerakkan masa ini, iaitu menganjurkan program pungutan Dana Palestin. Alhamdulillah syukur, kita di bumi Malaysia ini tidak pernah terkecuali dalam memberikan apa juga pertolongan untuk masyarakat antarabangsa yang dirundung penderitaan. Pungutan derma untuk rakyat Palestin ini sebenarnya bukanlah perkara baharu kerana di negara kita telahpun wujud pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergerak khusus dalam menyelaraskan kutipan dana untuk diagihkan kepada rakyat yang sengsara di serata dunia. Hakikat itu jelas mempamerkan lambang sikap kebersamaan dengan masyarakat antarabangsa yang tertindas mahupun yang sedang menderita kerana musibah alam. Fenomena murah hati masyarakat Malaysia sememangnya telah lama bersebati dalam jiwa kita yang dididik dengan asuhan ajaran agama Islam agar tidak sekadar menjadi 'penonton' sahaja terhadap kesususahan dan kegetiran hidup golongan lain. Inilah keistimewaan masyarakat kita selama yang masih kekal segar membajai setiap warga negara.

Pesanan yang ditinggalkan oleh Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW agar umatnya saling membantu sesama muslim dan manusia lain, jelas sentiasa terbekas dalam jiwa. Kita tentunya akan sentiasa berpegang teguh dengan pesanan Nabi kita yang mengajak kita berbuat baik dan bertolong-tolongan kepada setiap manusia.

Pesanan Rasulullah SAW, "Barang siapa melapangkan seorang mukmin daripada satu kesusahan dunia, Allah akan melapangkannya daripada salah satu kesusahan di hari kiamat. Barang siapa meringankan penderitaan seseorang, Allah akan meringankan penderitaannya di dunia dan akhirat. Barang siapa menutupi (aib) seorang Muslim, Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan menolong seorang hamba selama hamba itu mahu menolong saudaranya." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Para ulama ada menyebut dalam hukum fiqah bahawa, 'Kebaikan yang manfaatnya menular kepada orang lain, itu lebih utama daripada kebaikan yang manfaatnya hanya untuk diri kita sendiri.' Justeru, apa yang kita sedang laksanakan pada ketika ini dengan menggerakan pelbagai program demi membantu rakyat Palestin benar-benar menepati semangat hukum fiqah tersebut yang manfaatnya menular kepada orang lain.

Sikap berlumba untuk berbuat kebaikan sesama manusia tidak pernah padam dalam jiwa setiap kita yang cintakan kemanusiaan. Begitulah halnya dengan keadaan semasa yang berlaku di bumi saudara-saudara kita di Palestin masa ini. Derita mereka tetap terasa di hati kita. Benar sekali, yang kita bukan berjiran geografi, namun kita dan mereka tetap berjiran hati.

Selain itu, senario masyarakat Muslim di tanah air kita yang tidak pernah jemu untuk berdoa untuk kesejahteraan rakyat palestin juga satu usaha berterusan yang bukan perkara remeh sahaja. Sesungguhnya, doa untuk kebaikan orang lain sangat dianjurkan dalam Islam. Nabi kita sendiri berpesan, 'Tidaklah seorang Muslim mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan saudaranya itu kecuali malaikat berkata, 'Dan untuk kamu juga seperti itu.' (Hadis riwayat Imam Muslim)

Kita sangat yakin, pasti akan ada antara doa-doa kita buat mereka yang diakabulkan Allah. Nabi kita berpesan lagi, "Doa seorang Muslim untuk saudaranya (sesama Muslim) tanpa diketahui olehnya adalah doa mustajabah." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Justeru, usah jemu berdoa kerana doa adalah senjata orang mukmin. Yakinlah bahawa doa kita buat saudara-saudara seiman dengan kita di bumi Palestin diterima Allah. Berdoa juga adalah lambang kebersamaan hati kita dengan mereka, dan ia sumbangan dalam bentuk rohani buat mereka di sana.

 Jadi, dalam suasana sangat kritikal ketika ini, kita perlu mencorakkan apa sahaja pendekatan semata-mata untuk membantu saudara-saudara kita di Palestin. Apa sahaja yang terdaya sewajibnya kita usaha. Susah jasmani mereka, maka susahlah jua jiwa kita.

 Sama-sama kita mendoakan agar Allah melindungi mereka, mengembalikan suasana keamanan di sana dan yang terpenting agar Allah tetap memancar keagungan Islam di bumi Israk Nabi kita dahulu. Aamin.

Penulis Pensyarah Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 7:01 AM