TUNTUTAN untuk seorang Muslim menutup aurat adalah wajib.
TUNTUTAN untuk seorang Muslim menutup aurat adalah wajib.
Datuk Dr Luqman Abdullah

BARU-BARU ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerima beberapa soalan berhubung tuntutan membuka aurat oleh majikan kepada seorang Muslim. Secara asasnya, kami ingin meletakkan bahawa  tuntutan untuk seorang Muslim menutup aurat adalah wajib. Oleh itu, seorang pekerja Muslim tidak boleh menuruti arahan majikan yang bercanggah dengan suruhan agama kerana suruhan agama adalah suruhan yang perlu diutamakan.

Kami berpendapat tawaran kerja itu perlu ditolak kerana kerja itu menjurus kepada melakukan perkara yang dimurkai Allah. Insya-Allah, tawaran yang ditolak hari ini atau pekerjaan yang ditinggalkan akan diganti dengan perkara yang lebih baik.

Ini kerana Allah SWT  menyatakan bahawa Dia akan menyediakan jalan keluar dari segala kesusahan serta memberikan rezeki daripada sumber yang tidak disangka-sangka kepada orang yang bertakwa kepada-Nya.

Kewajipan untuk menutup aurat bagi setiap Muslim sudah thabit hukumnya dari al-Quran dan hadis.

Perintah untuk menutup aurat ini disebut secara jelas dalam Surah al-Ahzab ayat 59 dan Surah an-Nur ayat 31. Allah SWT  berfirman yang bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Ahzab: 59)

Firman Allah SWT  pada ayat yang lain: "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (Surah an-Nur: 31)

Ibnu Kathir mendatangkan satu hadis riwayat Bukhari ketika mentafsirkan bahawa apabila wanita yang paling awal berhijrah mendengar ayat ini mereka terus mematuhi perintah untuk menutup aurat terbabit. (Rujuk  Tafsir Ibn Kathir  46/6)

Menurut riwayat itu: "Aisyah meriwayatkan, beliau berkata, semoga Allah merahmati wanita-wanita yang paling awal berhijrah, apabila Allah SWT  menurunkan ayat (hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka) mereka mengoyakkan kain mereka dan jadikannya sebagai tudung untuk menutup kepala."  (Sahih Bukhari No.4758)

Dalil daripada al-Quran dan hadis yang kami nyatakan di atas jelas menunjukkan kewajipan wanita untuk menutup aurat dan bertudung.

Oleh kerana itu, haram bagi wanita untuk menanggalkan tudung atau hijab dan menunjukkan auratnya di hadapan bukan mahram. Apabila Allah SWT  dan Rasul-Nya memerintahkan untuk melakukan sesuatu, maka ia tidak boleh dipandang enteng. Allah SWT  berfirman: "Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya."  (Surah an-Nur: 63)

Namun dalam persoalan ini, majikan meletakkan syarat atau meminta pekerjanya untuk meninggalkan perintah agama iaitu perintah menutup aurat dengan sempurna, maka ia dikira sebagai suruhan untuk melakukan maksiat pada Allah SWT  yang tidak boleh ditaati.

Selain itu, terdapat hadis daripada beberapa riwayat seperti al-Bukhari, Abu Daud, al-Tirmizi yang menyatakan mentaati arahan pemimpin itu wajib selagi ia bukan pada perkara maksiat.

Selain itu, terdapat juga hadis daripada Imam Ahmad yang membawa maksud sama, tidak perlu taat arahan ketua atau majikan jika perkara terbabit adalah untuk melakukan maksiat kepada Allah yang bermaksud: "Tiada ketaatan kepada makhluk pada melakukan perkara maksiat kepada Pencipta." (Musnad Ahmad 1095)

Kesimpulannya, tuntutan untuk seorang Muslim menutup aurat adalah wajib. Oleh itu, seorang pekerja Muslim tidak boleh menuruti arahan majikan yang bercanggah dengan suruhan agama kerana suruhan agama adalah suruhan yang perlu diutamakan.

Tawaran kerja itu perlu ditolak kerana kerja itu menjurus kepada melakukan perkara yang dimurkai Allah. Insya-Allah, tawaran yang ditolak hari ini atau pekerjaan yang ditinggalkan terbabit akan diganti dengan tawaran atau perkara yang lebih baik.

Ini kerana Allah SWT  menyatakan bahawa Dia akan menyediakan jalan keluar dari segala kesusahan serta memberikan rezeki daripada sumber yang tidak disangka pada orang yang bertakwa kepada-Nya.

Allah SWT berfirman: "...Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya) serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." (Surah al-Talaq: 2-3)

Kami juga ingin mengingatkan majikan terutama yang beragama Islam untuk peka berkenaan perkara yang menjadi sensitiviti umat Islam terutama aspek pemakaian pekerja Muslim yang mesti menutup aurat dan tidak membuat arahan yang membelakangkan syariat seperti mesti menanggalkan tudung atau berpakaian ketat ketika waktu bekerja. Wallahualam.

Penulis Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 5:59 AM