ISU Palestin sewajarnya menjadikan kita menginsafi diri supaya menerapkan sifat ihsan dan kepedulian sesama insan. FOTO AFP
ISU Palestin sewajarnya menjadikan kita menginsafi diri supaya menerapkan sifat ihsan dan kepedulian sesama insan. FOTO AFP
Datuk Mohd Ajib Ismail

BILANGAN rakyat Palestin yang terkorban dan syahid meningkat saban hari sejak serangan terbaharu rejim Israel ke atas Semenanjung Gaza lebih sebulan lalu. Media melaporkan bilangan syuhada meningkat kepada 8,005 orang termasuk kanak-kanak, wanita dan warga tua, manakala 20,242 orang yang lain cedera dengan pelbagai tahap kecederaan. Sehingga artikel ini ditulis, belum ada tanda-tanda menunjukkan serangan akan dihentikan atau sebarang gencatan senjata akan dilakukan. Kerajaan Malaysia juga berulang kali menegaskan pendirian mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan dan mendesak serangan itu segera dihentikan.

Keprihatinan seluruh rakyat Malaysia dizahirkan tanpa henti melalui pelbagai medium sebagai lambang solidariti. Penghantaran pertama bantuan kemanusiaan dari Malaysia untuk Palestin menerusi Ops Ihsan dilaporkan selamat mendarat di Mesir untuk dibawa masuk ke Gaza melalui lintasan sempadan Rafah. Perhimpunan aman dianjurkan di pelbagai lokasi di seluruh negara saban minggu. Segenap lapisan masyarakat daripada pelbagai kaum dan agama hadir menyertai perhimpunan sebagai tanda sokongan. Khutbah Jumaat di Masjid Negara setiap minggu dalam mukadimahnya menyentuh perkembangan semasa konflik di Palestin agar sifat cakna dan perasaan simpati serta empati tertancap dalam benak hati dan sanubari umat Islam. Kementerian Pendidikan juga menganjurkan Minggu Solidariti Palestin di sekolah mengikut garis panduan yang ditetapkan bagi menyebarkan mesej kedamaian dan keharmonian. Begitulah kesungguhan rakyat Malaysia menunjukkan tanda keprihatinan.

Isu Palestin sewajarnya menjadikan kita menginsafi diri supaya menerapkan sifat ihsan dan kepedulian sesama insan. Perkara berkenaan bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Perumpamaan orang Mukmin dalam berkasih sayang bagaikan satu tubuh, apabila satu anggota badan merintih kesakitan maka seluruh badan akan rasa panas dan demam." (Riwayat Muslim)

Usaha dan sumbangan yang dihulurkan walaupun kecil dapat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan sekalipun sekadar munajat dan doa dititipkan. Rasulullah SAW menjelaskan dalam sebuah hadis bahawa orang yang mengambil berat mengenai perihal saudaranya sendiri pasti mendapat ganjaran besar dan balasan baik daripada Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Siapa yang menyelesaikan masalah seorang Mukmin di dunia maka Allah akan menyelesaikan masalahnya di akhirat. Siapa yang memudahkan orang yang dalam kesulitan maka Allah akan memberikan kemudahan kepadanya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutupi aib saudaranya, Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat serta Allah sentiasa akan menolong hamba-Nya selama dia menolong saudaranya." (Riwayat Muslim)

Namun dalam ajaran Islam, bukanlah semua orang disyariatkan untuk pergi berjihad. Boleh jadi kerana halangan dan kewajiban tertentu, tidak semua orang berpeluang bertempur di medan perang. Dalam sebuah hadis dinyatakan perihal seorang lelaki yang dilarang pergi berperang 'fisabilillah' kerana mempunyai seorang ibu di bawah jagaannya. Dalam sebuah hadis ada menyebut: "Telah datang seorang lelaki kepada baginda Nabi SAW maka dia meminta izin daripada baginda untuk keluar berjihad. Maka Nabi bersabda: Adakah masih hidup kedua-dua ibu bapamu? Dia menjawab, Ya. Maka baginda bersabda lagi: 'Maka ke atas mereka berdua, berjihadlah (berbaktilah kepada kedua-dua ibu bapamu terlebih dahulu selama mana mereka masih hidup)." (Riwayat al-Bukhari)

Rasululllah SAW menegaskan bahawa jihad melawan hawa nafsu sebagai jihad yang terbesar. Firman Allah SWT dalam Surah al-Ankabut ayat 6 bermaksud: "Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri, sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk."

Menurut Ibn Kathir ayat 'dan sesiapa yang berjihad' bermaksud 'sesiapa yang beramal soleh.' Justeru dalam ajaran Islam pelbagai bentuk amal soleh juga dihitung menyamai pahala berjihad misalnya menuntut ilmu dan menyantuni ibu bapa. Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah ayat 122 yang bermaksud "Dan tidaklah (betul dan elok) orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang) oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada tiap-tiap puak di antara mereka supaya orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah)."

Rasulullah SAW pula bersabda dalam sebuah hadis bermaksud "Orang yang berusaha (menolong) janda dan orang miskin, (akan mendapatkan pahala) seperti orang berjihad di jalan Allah atau orang yang qiamulail semalam suntuk dan puasa sehari penuh." (Riwayat al-Bukhari)

Umat Islam pada setiap masa perlu berusaha memperbaiki diri dengan membina kekuatan ruhiyah seperti berazam untuk mendirikan solat berjemaah di masjid dan surau terutama waktu subuh dan isya. Selain itu, setiap Muslim juga perlu berusaha untuk bangun malam bagi menunaikan solat dan berqiamulail yang menjadi kekuatan utama tentera Islam di medan perang sebagaimana perumpamaan masyhur iaitu menjadi 'ahli ibadah pada malam hari dan singa pada siang hari.'

Usahlah kita menjadikan isu Palestin sebagai pencetus perbalahan sesama Muslim ataupun dengan penganut agama dan kaum berbeza. Begitu juga tindakan boikot yang mendorong perlakuan kasar dan ekstremis. Baru-baru ini Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan panduan dan parameter boikot untuk dipertimbangkan oleh umat Islam agar tindakan yang dilaksanakan benar-benar mencapai matlamat, berstrategi, tidak menyimpang daripada objektif digariskan serta tidak menzalimi pihak yang tidak bersalah. Panduan itu menyeru amalan tabayyun agar mendapatkan ilmu dan maklumat yang tepat, bukan bertindak atas dorongan hawa nafsu melulu. Natijahnya hanya mendatangkan kerugian dan memecahbelahkan masyarakat. Sudah tentulah perkara tersebut bercanggah dengan tuntutan Islam bahkan sama sekali tidak diinginkan oleh saudara kita di Palestin.

Malaysia sehingga kini masih menikmati suasana aman dan sejahtera yang bebas daripada sebarang konflik serta peperangan. Seluruh warga terutama umat Islam berpeluang menunaikan ibadah di masjid dan surau dengan tenang serta selesa ketika kemudahan yang serupa hancur lebur dibedil rejim Zionis di Palestin. Amat wajarlah kita sebagai Muslim bermuhasabah diri sama ada sudah menjadi semakin baikkah kita atau semakin rancak bercakaran dan bermusuhan serta saling menuding kesalahan antara satu sama lain?

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 5:59 AM