Masjid Al-Aqsa
Masjid Al-Aqsa
Oleh Dr Izham Hakimi Redzan

 

Bagi orang Islam, ada tempat-tempat yang disucikan dan diagungkan. Oleh yang demikian, diwajibkan ke atas semua penganut agama Islam untuk menjaganya. Ini kerana, ia merupakan salah satu juzuk daripada lambang agama. Maka, barang siapa yang tidak mengambil berat tentang tempat-tempat yang disucikan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW, maka dia bukanlah daripada golongan yang diredai. Begitu juga, barang siapa yang meninggikan lambang-lambang agama Islam, maka ia menunjukkan kepada ketakwaan hatinya. (Al-Haj:32)

Di antara tempat-tempat yang suci bagi umat Islam ialah Masjid Aqsa di bumi Palestin. Masjid ini tidak kurang kesucianya dan kepentinganya daripada Masjid Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah. Ketiga-ketiga buah masjid ini merupakan waqaf umum bagi semua umat Islam daripada timur dunia sehinggalah ke barat dunia.

Begitu juga, masjid-masjid ini bukanlah milik sesebuah negara, sesebuah masyarakat ataupun sesebuah bangsa, bahkan setiap orang daripada umat Islam mempunyai haknya ke atas masjid-masjid ini untuk menziarahi, mendirikan solat dan melakukan lain-lain daripada amal ibadat di dalamnya.

Oleh yang demikian, barang siapa yang tidak mengambil berat tentang apa yang berlaku di Masjid Aqsa maka dia seolah-olah tidak mengambil berat tentang Masjid Haram dan Masjid Nabawi. Hal ini kerana ketinggian dan kesucian Masjid Aqsa ini adalah seperti dua masjid di Makkah dan Madinah.

Allah SWT berfirman: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambanya pada malam hari daripada Masjid Haram hingga ke Masjid Aqsa yang kami berkati sekelilingya. (Surah Al-Isra': 1)

Baginda Nabi SAW bersabda di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan di dalam Sahih Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA: Tidaklah seseorang itu bersusah payah untuk bermusafir kecuali ke tiga buah masjid: Masjid Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Aqsa.

Lembaran sejarah telah mencatatkan bahawa peperangan telah berlaku beberapa kali di Masjid Aqsa dan kawasan sekitarnya. Ia telah ditawan oleh kerajaan kristian sehingga datangnya al-Faruq Sayyiduna Umar bin Al-Khattab Khalifah Islam yang kedua untuk membebaskanya. Selepas itu, masjid ini ditakluki sekali lagi oleh tentera kristian hampir seratus tahun pada awal kurun ke-enam hijrah dan dibebaskan oleh Imam yang soleh iaitu Salahuddin Al-Ayyubi.

Sepertimana yang kita sedia maklum, Masjid Aqsa merupakan salah satu daripada perhentian perjalanan Nabi SAW pada malam Isra' dan Mikraj. Apabila Baginda tiba di sana, baginda menambat tunggangannya (buraq), kemudian baginda melaksanakan solat dua rakaat di masjid ini. Selepas itu, datang para nabi dan rasul untuk solat bersama dengan berimamkan nabi junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.

Solat Nabi Muhammad SAW dengan mengimamkan para nabi dan rasul di tempat yang penuh berkat ini menunjukkan satu isyarat yang jelas bahawa golongan yang paling layak untuk mengimarahkan Masjid Aqsa ialah orang Islam. Oleh yang demikian, umat Nabi SAW ialah umat yang paling berhak menjadi imam di masjid ini dan yang paling berhak untuk menjadi khalifahnya dan paling layak mentadbirnya.

Solat di Masjid Aqsa dilipat ganjaranya oleh Allah SWT, ini kerana seperti yang telah disebutkan dalam hadis: Tidaklah seseorang itu bersusah payah untuk bermusafir kecuali ke tiga buah masjid. Diantara tiga buah masjid yang disebutkan ialah Masjid Aqsa.

Baginda Nabi SAW juga bersabda di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bazzar dengan sanad yang hasan daripada Abu Darda' RA: Fadilat sembahyang di Masjid Haram daripada masjid-masjid yang lain adalah sebesar seratus ribu kali ganda ganjaran solat. Adapun fadilat sembahyang di masjid aku ini (yakni Masjid Nabawi) sebesar satu ribu kali ganda. Adapun fadilat sembahyang di Baitul Maqdis (yakni Masjid Aqsa) sebesar lima ratus kali ganda.

Selain itu, barang siapa yang datang ke Masjid Aqsa tidak menginginkan kecuali solat di dalamnya, maka Allah SWT akan mengampunkan dosanya seperti mana hari dia dilahirkan. Ini berdasarkan sabda baginda Nabi SAW di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Nasai', Ibnu Majah dan Imam Ahmad dengan sanad sahih daripada Abdullah bin Amr RA: Sesungguhnya Nabi Sulaiman bin Daud apabila baginda hampir menyelesaikan pembinaan Masjid Aqsa, baginda meminta daripada Allah SWT tiga perkara.

Pertama, beliau meminta supaya Allah SWT mengurniakan kepada baginda apa yang dihukumkan oleh baginda itu ada padanya hukum Allah SWT. Nabi SAW bersabda: Allah telah mengurniakanya perkara tersebut.

Kedua, baginda meminta untuk didatangkan  kepada baginda satu kerajaan yang tidak didatangkan sesiapa pun yang datang selepas baginda. Nabi SAW bersabda: Allah telah mengurniakanya perkara tersebut.

Ketiga, baginda memohon kepada Allah SWT sesiapa yang datang ke Masjid Aqsa untuk solat di dalamnya, maka dia tidak akan keluar daripada masjid ini kecuali dosa dia akan diampunkan seperti hari dia dilahirkan. Nabi SAW bersabda: Aku berharap permintaan ketiga ini akan dimakbulkan oleh Allah SWT.

Di antara mukjizat Nabi SAW adalah memberitahu perkara yang ghaib. Di antara perkara yang ghaib perkhabaran dengan apa yang akan berlaku pada masa yang akan datang. Di dalam sebuah hadis, Nabi SAW telah mengisyaratkan bahawa Masjid Aqsa akan jatuh di bawah tangan musuh.

Nabi SAW bersabda: Akan datang kepada umat manusia (yakni umat Nabi Muhammad SAW) satu masa, satu bucu daripada muka bumi ini yang dapat dilihat oleh seseorang Islam itu akan Baitul Maqdis (yakni Masjid Aqsa) lebih daripada apa yang ada di atas muka bumi ini. (Hadis Riwayat Tabarani)

Pada masa sekarang ini siapakah daripada umat Islam dapat untuk bemusafir menziarahi Masjid Aqsa dan solat di dalamnya?! Seperti kita sedia maklum masjid yang suci ini sekarang ini di dalam genggaman musuh Allah.

Kita perlu sedar bahawa Masjid Aqsa dan bumi Palestin adalah bumi waqaf untuk umat Islam. Ia merupakan salah satu tempat suci bagi umat islam, bukan bagi bangsa arab, bukan pula bagi rakyat palestin sahaja, bahkan bagi semua umat islam di dunia ini.

Kita semua umat Islam bertanggungjawab untuk menjaganya daripada ditakluki dan melindungi ahlinya daripada dizalimi. Umat Islam perlu untuk menjadi umat yang satu.  Selain daripada itu, perlu juga umat Islam menjadi sepertimana yang telah disabdakan oleh Nabi SAW di dalam hadis yang masyhur: Perihal orang-orang Mukmin dalam keadaan saling mencintai dan mengasihi satu sama lain bagaikan satu batang tubuh. Apabila ada salah satu daripada anggota tubuh sakit maka seluruh jasad akan berasa demam dan rasa tidak boleh tidur malam.

Pada hakikatnya, umat Islam pada zaman ini dalam keadaan yang lemah dan kritikal. Sekurang-kurang apa yang boleh dilakukan oleh seorang Muslim yang lemah adalah dengan mendoakan doa yang soleh kepada saudara-saudara kita di Masjid Aqsa, Gaza dan Palestin, semoga Allah SWT memberikan kepada mereka kemenangan dan perlindungan.

Penulis ialah Alumni Institut Dar Hadith Hassania Universiti Al-Qarawiyyin, Maghribi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 6:01 AM